Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada majlis Makan Malam Bersama Masyarakat Cina di Restoran V Garden Setia Alam, Shah Alam pada 24 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: 30,000 keluarga bakal terima bantuan Bingkas

SHAH ALAM, 25 JUN: Hampir 30,000 keluarga di Selangor bakal menerima bantuan sebanyak RM3,600 dalam tempoh setahun mulai Julai ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif menerusi Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) itu bertujuan meringankan beban penerima terutama yang terjejas akibat penularan Covid-19 sejak 2020.

“Esok kita akan rasmikan Bingkas di Morib (Jelajah Selangor Penyayang). Kita jumpa rakyat, kita nak beri tahu apa kita buat. Bukan hanya saring (Saringan Komuniti), vaksin (Program Vaksin Selangor) tetapi untuk jangka panjang.

“Dahulu kita beri bantuan RM200 sebulan kepada wanita, ibu tunggal, setahun RM2,400. Ketika Covid-19 ramai hilang kerja, hilang pendapatan. Jadi Kerajaan Negeri melihat perkara ini malah luaskan juga bantuan kepada lelaki,” katanya.

Beliau berucap di majlis makan malam bersama masyarakat Cina anjuran Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad malam tadi.

Bingkas adalah antara inisiatif terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang bagi menggantikan Insiatif Peduli Rakyat bagi membantu kebajikan lebih ramai rakyat negeri ini.

Skim mengetengahkan konteks kepedulian, penyayang dan semangat kemanusiaan itu turut menambah baik inisiatif kesihatan termasuk memperluas saringan kepada golongan lelaki bagi mengesan barah kolon.


Pengarang :