Graduan menghadiri majlis konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-23 di Pusat Konvensyen KUIS, Kajang pada 1 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ajak mohon bantuan pendidikan, terbuka peringkat diploma dan ijazah

SHAH ALAM, 21 JUN: Anak Selangor disaran memohon bantuan pinjaman boleh ubah dalam negara 2022 yang dibuka hingga 31 Julai depan bagi menampung keperluan pengajian.

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan dari Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor itu ditawar kepada pelajar peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah perubatan.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, kadar pembiayaan mengikut peringkat pendidikan dan diberi sehingga tamat pengajian.

“Bantuan khas ini membantu anak-anak negeri meneruskan proses akademik. Anak-anak Selangor, manfaatkan peluang ini dan sebarkan kepada sesiapa yang berminat.

“Kesinambungan pendidikan merupakan antara aspek terpenting kehidupan dan Kerajaan Negeri komited menjayakan agenda pendidikan kita,” katanya di Facebook hari ini.

Permohonan pinjaman dibuka sejak awal bulan ini dan boleh dibuat menerusi laman sesawang https://danapendidikan.selangor.gov.my.

Antara syarat kelayakan, pemohon, ibu atau bapa lahir di Selangor selain bermastautin lebih daripada 10 tahun di negeri ini.

Selain bantuan berkenaan, Kerajaan Negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasa agenda pendidikan.

Antaranya bantuan RM1,000 kepada mahasiswa baharu daripada keluarga berpendapatan rendah menerusi Iltizam Mahasiswa Selangor serta pemberian kad modul pengenalan pelanggan (SIM) dilengkapi internet percuma selama setahun.


Pengarang :