Aplikasi SELangkah yang dibangunkan Kerajaan Negeri memudahkan orang ramai menyemak rekod berkaitan usaha menangani penyebaran Covid-19. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Fungsi SELangkah diperluas, jadi buku kesihatan individu

SHAH ALAM, 15 JUN: Fungsi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) diperluas sebagai buku kesihatan seiring perkembangan era digital.

Dato’ Menteri Besar berkata keputusan pemeriksaan kesihatan melalui program Selangor Saring dipapar dalam aplikasi itu akan disimpan sebagai rekod kesihatan individu untuk rujukan masa depan.

“Langkah ini bertepatan menjadikan Selangor sebagai negeri pintar 2025. Selain meningkatkan kecekapan capaian data, perkembangan kesihatan boleh dipantau individu secara real-time.

“Rawatan awal boleh diusahakan apabila perlu. Secara tidak langsung, memanfaatkan pelaburan aplikasi ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Beliau turut meminta rakyat negeri ini mendaftar di aplikasi itu untuk mendapatkan pemeriksaan jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang, serviks dan payu dara secara percuma.

Pada 28 Mei lalu, pengurus besar Selgate Healthcare Sdn Bhd menasihati peserta program Selangor Saring supaya tidak memadam aplikasi berkenaan sebaik selesai menjalani pemeriksaan kesihatan percuma itu.

Dr Jeevarajah Ratnarajah berkata ia berikutan keputusan pemeriksaan akan ditunjukkan dalam aplikasi tersebut dan disimpan sebagai rekod kesihatan individu.

Sebanyak RM3.4 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi program Selangor Saring yang dijangka memanfaatkan 39,000 rakyat Selangor terutama golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Penyakit disaring meliputi kategori penyakit tidak berjangkit seperti jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

Kategori barah membabitkan kolorektal, prostat, serviks serta payu dara manakala kategori mata pula merangkumi rabun, glaukoma dan retina.


Pengarang :