Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkongsi pandangan dalam Sepetang Bersama Dato’ Menteri Besar di Pentas Utama Pesta Buku Kuala Lumpur 2022, Kuala Lumpur pada 6 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Intelektual Masyarakat Membangun beri kesan gaya berfikir, bentuk kehidupan

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Intelektual Masyarakat Membangun adalah bahan bacaan yang memberi kesan kepada corak pemikiran dalam sesuatu perkara, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata buku tulisan Prof Dr Syed Hussein Alatas itu ialah hasil karya paling diminati dan beliau sering membacanya secara berulang.

“Saya rasa buku ini bukan sekadar dibaca tetapi dihadam, disemak, diulang dan memberi bekas kepada corak serta juga gaya berfikir.

“Ia memberi renjatan fikiran kepada kita semua betapa penting dan juga betapa pokoknya peranan intelektual yang boleh memandu masyarakat, negeri dan negara keluar daripada kebebalan atau mencari langkah yang betul,” katanya, semalam.

Amirudin berkata demikian ketika ditanya moderator buku yang diminati beliau pada program Sepetang Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari disertai Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Datin Paduka Mastura Muhamad (kanan) meninjau reruai buku ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 6 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau juga memaklumkan turut meminati buku bertajuk Universiti Mendukung Tradisi Intelektual karya Zaini Ujang di mana penulisan itu dekat dengan beliau yang ketika itu bergelar mahasiswa dan aktivis.

“Sejak kecil saya minat membaca tetapi hanyalah bahan ringan dan bahan berat pada ketika itu ialah akhbar seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia terutama kolum di bahagian tengah.

“Bila di universiti saya bertemu rakan yang minat membaca dan galak melakukan perbincangan terhadap isi kandungan dan jika tanya saya apa perkara yang hilang selepas bergelar ahli politik ialah masa berdiskusi dengan kawan-kawan di mana kami melakukannya hingga berjam-jam lamanya,” katanya.


Pengarang :