Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Jelajah bantuan rakyat di setiap daerah, tawar pelbagai inisiatif kebajikan

HULU LANGAT, 19 JUN: Program Jelajah Selangor Penyayang memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik bagi membolehkan lebih ramai penduduk menerima manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jelajah tersebut dianjurkan di sembilan daerah dengan dengan setiap daerah terlibat menyediakan subsektor berbeza untuk manfaat rakyat.

“Hari ini bagi Hulu Langat kita perkenal subsektor perumahan dan sebab itu kita lancarkan program perumahan. Selepas ini di Kuala Langat, kita perkenal subsektor yang memberi tumpuan kepada kebajikan.

“Ini sebagai usaha untuk perkenal semula program kepedulian rakyat kita yang dinamakan sebagai Inisiatif Selangor Penyayang atau Iltizam Selangor Penyayang,” katanya.

Beliau berucap pada Jelajah Selangor Penyayang Kehidupan Bermartabat bagi daerah Hulu Langat di padang Taman Kosas, Ampang di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata sejumlah RM600 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri setahun bagi menjayakan inisiatif berkenaan.

“Selepas penjajaran serta penambahbaikan, kita masih belanjakan dengan angka yang sama. Dulu kita tumpu untuk air percuma melibatkan kos RM200 juta. Selepas kita hadkan kepada 600,000 akaun, lebihan peruntukan ini kita tambah kepada insiatif lain.

“Antaranya seperti kita tambah jumlah penerima Skim Peduli Sihat, kemudian kita buat Selangor Saring dan Bingkas (Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor),” katanya.

Terdahulu, dalam majlis turut berlangung penyerahan 2,013 unit Rumah Selangorku Idaman daripada Rakan Strategik Menteri Besar Selangor (Perbadanan) atau MBI kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Turut berlangsung penyerahan surat persetujuan pembelian 50 unit Skim Smart Sewa daripada Setia EcoHill Sdn Bhd kepada LPHS.

Selepas ini, Jelajah Selangor Penyayang akan diteruskan di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Mohamad beramah mesra dengan pengunjung Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :