Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkongsi cerita kejayaan Kerajaan Negeri kepada syarikat di Korea Selatan dalam Misi Pelaburan Selangor ke negara itu. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB lawat Korea Selatan, teruskan Misi Pelaburan Selangor

SHAH ALAM, 17 JUN: Dato’ Menteri Besar mengadakan lawatan ke Korea Selatan bagi meneruskan misi pelaburan negeri selepas terhenti hampir dua tahun.

Lawatan Dato’ Seri Amirudin Shari ke negara yang terkenal dengan fenomena “halyu” K-Pop diiringi EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim.

Dalam lawatan itu beliau bersama Chang Khim berpeluang menemui beberapa syarikat yang telah menyatakan hasrat untuk melabur di Selangor dan berkongsi kejayaan Kerajaan Negeri.

“Kami berkongsi cerita kejayaan Kerajaan Negeri dengan syarikat aeroangkasa, perusahaan perisian permainan (gaming) serta gergasi teknologi pengurusan aset seperti air, tenaga solar dan beberapa lagi.

“Terima kasih banyak diucapkan kepada Kedutaan Malaysia serta MIDA Seoul. Mudah-mudahan misi pelaburan ini berjaya melonjakkan lagi pelaburan serta kerjasama Selangor-Korea di masa hadapan,” katanya menerusi Facebook.

Amirudin turut mengunjungi loji rawatan air Seongnam milik K-Water yang membekalkan air bersih ke Seongnam dan sekitar menggunakan teknologi terkini yang lestari dan mampu menjana tenaga sendiri.

Tambah beliau, lawatan itu akan terus diisi dengan aktiviti promosi pelaburan dengan syarikat petroleum serta makanan dan minuman gergasi Korea.

 


Pengarang :