Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Insentif Haji Muassasah Selangor di Masjid Jamek As-Solihin, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Permohonan insentif haji masih dibuka, sasar 3,000 penerima manfaat

KUALA LANGAT, 25 JUN:  Sebanyak 1,500 permohonan insentif Haji Muassasah diterima daripada bakal jemaah seluruh negeri sejak dibuka pada 23 Mei lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menyasarkan seramai 3,000 bakal jemaah haji menerima manfaat dan permohonan masih dibuka sehingga 31 Ogos ini.

“Sasaran kita adalah 3,000 orang dan kita perlukan lagi separuh sahaja lagi, insyallah kita akan dapat senarai itu nanti berdasarkan data Lembaga Tabung Haji (TH), “ katanya, hari ini.

Beliau berucap dalam majlis penyerahan insenitf Haji Muassasah kepada bakal jemaah sekitar Kuala Langat di Masjid Jamek As- Solihin, Kanchong Darat di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Amirudin turut memberi sumbangan RM10,000 kepada dua masjid di daerah Kuala Langat.

Insentif Haji Muassasah Selangor yang tertangguh dua tahun akibat Covid-19 diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat yang bakal menunaikan haji.

Jemaah yang layak akan menerima tunai RM500 dan kit cenderahati mengandungi beg, cecair nyahkuman, losyen, pelembap bibir, tuala muka dan tisu basah.

Antara syarat permohonan mestilah warganegara Malaysia, tawaran menunaikan haji pada tahun ini dan beralamat di Selangor atau mendaftar di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji.


Pengarang :