Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam program Khayra Ummah sempena Jelajah Selangor Penyayang di Masjid Jamek As-Solihin, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Semai sifat saling menyayangi, capai tahap khayra ummah

KUALA LANGAT, 25 JUN: Sifat sayang-menyayangi harus disemai dalam kalangan masyarakat bagi mencapai tahap khayra ummah iaitu sebaik-baik ummat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ciri itu harus dimiliki setiap insan kerana menjadi tunjang penting terhadap kejayaan sesebuah negeri.

“Konsep saling hormat-menghormati juga perlu ditekankan untuk mencapai tahap itu (khayra ummah) selain prihatin serta cakna terhadap golongan memerlukan seperti asnaf fakir dan miskin.

“Oleh sebab itu IPR (Inisiatif Peduli Rakyat) dijenamakan kepada Iltizam Selangor Penyayang yang membuktikan kita (Kerajaan Negeri) peduli dan ingin membantu (rakyat),” katanya.

Beliau berucap pada program Bicara Khayra Ummah sempena Jelajah Selangor Penyayang peringkat daerah Kuala Langat di Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat di sini malam ini.

Bicara bertemakan memperkasa ekonomi manusiawi disampaikan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Terdahulu, Amirudin menunaikan solat Maghrib di masjid berkenaan.


Pengarang :