Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada penerima ketika majlis penyampaian sumbangan insentif haji di Masjid Al Azim Pandan Indah, Hulu Langat pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB serah insentif Haji kepada 24 bakal jemaah sekitar Hulu Langat

AMPANG, 19 JUN: Dato’ Menteri Besar hari ini menyerahkan insentif Haji Muassasah 2022 kepada 24 bakal jemaah sekitar Hulu Langat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif bernilai RM500 itu bagi meringankan perbelanjaan jemaah yang bakal berangkat ke tanah suci Mekah dalam masa terdekat.

“Inisiatif ini dilaksana bagi berkongsi keberkatan kepada bakal jemaah. Kita harap ia dapat membantu memudahkan urusan mereka ketika melaksanakan haji.

“Saya percaya ada dalam kalangan mereka yang sudah lama menunggu untuk menjejakkan kaki ke Mekah. Ada yang diberi kebenaran dua tahun lepas tetapi tidak dapat berbuat demikian akibat perintah kawalan pergerakan,” katanya.

Serahan insentif di Masjid Al-Azim, Pandan Indah disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek selain dihadir EXCO Pertanian Ir Izham Hashim dan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pihaknya menerima cadangan daripada Lembaga Tabung Haji (TH) supaya mengkreditkan terus insentif berkenaan ke akaun bagi memudahkan jemaah haji yang sudah berada di Mekah.

“Mereka (TH) cadangkan formula itu dan kita sedang fikirkan. Mungkin tahun depan akan dilaksanakan, jadi jemaah boleh mengeluarkan wang tersebut di sana nanti.

“Bagaimanapun untuk tahun ini kita laksana sebaik mungkin dan yakin boleh mencapai 3,000 penerima insentif dengan keseluruhan perbelanjaan RM1.5 juta,” katanya.

Dalam majlis sama, Amirudin turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 untuk kegunaan masjid berkenaan.

Insentif Haji Muassasah Selangor yang tertangguh dua tahun akibat Covid-19 diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta dan bakal memanfaatkan 3,000 jemaah.

Pemohon yang layak akan menerima tunai RM500 serta kit cenderahati mengandungi beg, cecair nyahkuman, losyen, pelembap bibir, tuala muka dan tisu basah.

Antara syarat permohonan mestilah warganegara Malaysia, tawaran menunaikan haji pada tahun ini dan beralamat di Selangor atau mendaftar di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji.

 


Pengarang :