Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) menyampaikan cek cura pembelian aset komunikasi teknologi maklumat (ICT) kepada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Langat dan PTD Sepang ketika Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MB serah sumbangan beli aset komunikasi pusat kawalan bencana

HULU LANGAT, 18 JUN: Dato’ Menteri Besar menyerahkan aset komunikasi teknologi maklumat (ICT) untuk kegunaan dua pejabat tanah dan daerah (PTD), hari ini.

Aset pusat kawalan operasi bencana itu disampaikan Dato’ Seri Amirudin Shari kepada Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad dan Pegawai Daerah Sepang Khairi Azali Ibrahim.

Serahan dalam bentuk cek cura dibuat sempena Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas, Ampang di sini.

Dalam majlis sama, Amirudin turut menyampaikan hadiah utama sebuah motosikal jenis Honda ADV berkuasa 150cc kepada pemenang kempen Smart Selangor Citizen.

Jelajah yang membuka tirai di daerah Hulu Langat bagi mempromosi pelbagai inisiatif kebajikan rakyat turut melibatkan penyertaan 23 anak syarikat Kerajaan Negeri.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta di bawah Iltizam Selangor Penyayang yang menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Jelajah itu turut dijadual diadakan di Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.


Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) menyampaikan hadiah utama kepada pemenang kempen Smart Selangor Citizen Hadi Halim Hassan sempena Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 


Pengarang :