Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada pelancaran Majlis Penasihat Kesihatan Awam Selangor (Selphac) dan Apresiasi Petugas Barisan Hadapan Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 7 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Tanah projek jagung bijirin tidak nyahwarta hutan simpan

SHAH ALAM, 7 JUN: Tanah di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan yang dibangunkan bagi projek tanaman jagung bijirin boleh digunakan untuk pertanian tanpa perlu menyahwarta mana-mana hutan simpan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga menjelaskan projek berkenaan bertujuan mengurangkan kebergantungan import sekali gus mengatasi isu bekalan ayam di negeri ini.

“Kita mahu tangani masalah kekurangan bekalan ayam yang besar dan bahan makanan.

“Sebab itu Selangor mengorak langkah ke depan, malah negeri lain tidak buat apa-apa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program negeri di sini hari ini.

Semalam, Otai reformasi, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) membantah cadangan Kerajaan Selangor membersihkan kawasan hutan itu untuk tanaman jagung kerana melibatkan isu pewartaaan hutan.

Pada 19 Mei lalu, Selangor bersama Negeri Sembilan memeterai memorandum persefahaman bagi melaksanakan projek tanaman jagung bijirin dengan peruntukan RM3 juta.

Projek di atas tanah seluas 283.2 hektar (700 ekar) di Kuala Langat dan Gemas akan bermula sebaik kerja pembersihan tanah selesai suku ketiga tahun ini.


Pengarang :