Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama pengarah-pengarah Jabatan Persekutuan di Negeri Selangor di Bilik Mesyuarat Kenanga, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB terima kunjungan pengarah Jabatan Persekutuan, selaras program negeri

SHAH ALAM, 21 JUN: Dato’ Menteri Besar hari ini menerima kunjungan hormat daripada lima pengarah Jabatan Persekutuan Selangor di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini.

Berlangsung hampir sejam, pertemuan bersama Dato’ Seri Amirudin Shari melibatkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Akauntan Negara dan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Turut serta ialah Jabatan Penerangan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi membincangkan penyelarasan program Kerajaan Negeri.

Amirudin berkata kunjungan itu juga bagi memperkukuh kerjasama dengan agensi terbabit yang terjalin erat ketika negara berdepan tempoh mencabar dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

“Situasi dihadapi dalam tempoh berkenaan menjadikan kita kenal (agensi berkaitan) berbanding sebelum ini. Saya mengalu-alukan kerjasama ini kerana amat membantu kehidupan rakyat terutama bagi menyelaras bantuan dan program,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata Jabatan Pendidikan akan membantu mengenal pasti lebih banyak institusi pendidikan untuk memperkenal Program Tuisyen Rakyat Selangor, Peduli Siswa dan Bitara Yayasan Selangor.

Sementara Jabatan Penerangan pula bakal meneruskan kerjasama untuk mempergiat hebahan program Kerajaan Negeri secara bergerak kepada orang ramai.

“Selain itu, ICU berkaitan pembangunan persekutuan dan negeri pada masa akan datang bakal diselaras supaya tidak berlaku pertindihan,” kata Amirudin.

 

 


Pengarang :