Emmiril Khan Mumtadz. Foto Instagram @emmerilkahn
AGENDANASIONAL

MB ucap takziah pemergian anak gabenor Jawa Barat di Switzerland

SHAH ALAM, 4 JUN: Dato’ Menteri Besar mengucapkan kepada keluarga gabenor Jawa Barat atas pemergian anaknya, Emmeril Kahn Mumtadz (Eril) yang hilang di Sungai Aare, Bern, Switzerland akibat lemas.

“Inalillahwainnailaihirajiun. Belasungkawa atas kabar duka kehilangan anakanda bapak Ridwan Kamil di Switzerland.

“Semoga bapak kekal tabah dan dikurniakan kesabaran yang tinggi. Doa saya moga Allah beri kelapangan urusan jua buat bapak sekeluarga,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Dalam sidang media dibuat abang Ridwan, Erwin Muniruzaman di Gedung Pakuang, Bandung pada Jumaat memaklumkan keluarga gabenor itu dengan bantuan pihak berkuasa sudah sedaya upaya menjalankan usaha pencarian dan reda bahawa Eril meninggal dunia dalam kejadian itu, lapor Kompas.com.

“Melihat perkara itu, Ridwan dan isteri, Atalia Praratya mengatakan dengan ikhlas dan yakin bahawa Eril sudah meninggal dunia akibat lemas,” katanya.

Astro AWANI pada Sabtu lepas melaporkan pihak berkuasa Switzerland meneruskan misi mencari Eril yang dipercayai dihanyutkan arus ketika berenang di Sungai Aare pada 26 Mei lalu.

Jurucakap polis, Joel Regli dipetik agensi AP sebagai berkata, Eril dipercayai hilang pada pagi Khamis sewaktu sedang berenang bersama adiknya Camillia Laetitia Azzahra dan teman mereka di sungai berkenaan, yang terletak berdekatan pusat bandar.

Anak sulung Ridwan itu berada di Switzerland bersama keluarganya untuk mencari institut pendidikan bagi melanjutkan pendidikannya sehingga ke tahap sarjana.


Pengarang :