Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua, kiri) diiringi ketua guru Sekolah Rendah Agama An Nasihin, Saodah Tuwa melihat pagar yang siap dibina sumbangan MBI di Kampung Sungai Kertas, Gombak pada 24 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBI belanja hampir RM1 juta laksana aktiviti sekolah, baik pulih kemudahan

SELAYANG, 21 JUN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membelanjakan lebih separuh daripada RM1 juta peruntukan tahun ini bagi menjayakan program sekolah dan pelajar seluruh negeri.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata pihaknya membiayai pembangunan infrastruktur sekolah serta program Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengikut permohonan pihak berkaitan.

“Kita menerima permohonan untuk baik pulih bumbung bocor, tandas rosak selain peralatan seperti kerusi dan meja di kantin sekolah termasuk komputer riba.

“Kita masih ada baki peruntukan dan akan menyantuni sekolah memerlukan, jadi pihak pengurusan boleh mohon. Malah, saya percaya setiap minggu permohonan sampai kepada kita untuk dipertimbangkan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas menyerahkan lima unit komputer riba untuk kegunaan pusat akses Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ideal Height dekat sini, hari ini. Hadir sama Ahli Dewan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan dan pengetua cemerlang sekolah terbabit Zarina Mahmood.

Sejumlah RM1 juta diperuntuk MBI bagi menyokong program sekolah dan pelajar di Selangor pada tahun ini.

Peruntukan itu merangkumi RM500,000 untuk pembangunan infrastruktur sekolah dan RM500,000 PIBG.

Tahun lalu, MBI turut memperuntukkan RM30 juta bagi menjayakan program Data Internet Selangor, Program Tuisyen Rakyat Selangor, rebat pengangkutan ke pusat pemberian vaksin, Program Kembali ke Sekolah serta bantuan sempena sambutan Deepavali dan Krismas.

 


Pengarang :