Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan lesen pasar malam kepada Nuriman Kudarat (kanan) pada program Merangsang Ekonomi Mensejahtera Komuniti Petaling Jaya di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 26 Jun 2022 sambil disaksikan Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir (dua, kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

MBPJ terus bantu usahawan mikro yang masih terkesan akibat Covid-19

PETALING JAYA, 26 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan meneruskan pemberian lesen sementara kepada usahawan mikro yang masih terjejas walaupun negara sudah beralih kepada fasa endemik sejak 1 April lalu.

Datuk Bandar Petaling Jaya berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana pada 2020 sebanyak 253 permit sudah pihaknya bagi membantu golongan yang terkesan.

“Pihak majlis menjalankan bancian semula ke atas kesemua permit yang sudah dikeluarkan pada 11 Mei hingga 31 Mei lalu dan hasil bancian kita mendapati 47 peratus peniaga masih aktif menjalankan peniagaan.

“Selebihnya tidak lagi menjalankan perniagaan selepas pembukaan semula semua sektor ekonomi. Atas rasa tanggungjawab kita memberi peniaga permit sementara bagi membantu mereka meneruskan perniagaan,” katanya.

Mohamad Azhan Md Amir berkata demikian pada Program Merangsang Ekonomi Mensejahtera Komuniti Petaling Jaya di Laman MBPJ di sini, hari ini.

Pada 21 Februari lalu EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri mengeluarkan lebih 10,000 lesen sementara kepada penjaja tanpa lesen dan golongan yang terkesan akibat Covid-19.

Terdahulu, pada 17 Disember tahun lalu, tempoh pemberian lesen sementara kepada peniaga kecil itu dilanjutkan selama enam bulan lagi sehingga Jun ini.

Inisiatif itu sepatutnya tamat akhir tahun lalu namun diteruskan untuk membantu individu ingin berniaga kerana terkesan akibat pandemik Covid-19.


Pengarang :