Persiaran Institut di Seksyen 1 kini ditukar nama kepada Persiaran Tun Arshad Ayub sempena mengenang jasa pengarah pertama Institut Teknologi MARA atau kini dikenali Universiti Teknologi MARA (UiTM). Foto MBSA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBSA junjung titah Sultan tukar nama jalan kepada Persiaran Tun Arshad Ayub

SHAH ALAM, 28 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung pertukaran nama Persiaran Institut di Seksyen 1 di sini.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA memaklumkan nama jalan itu kini ditukar kepada Persiaran Tun Arshad Ayub sempena mengenang jasa pengarah pertama Institut Teknologi MARA atau kini dikenali Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Petugas MBSA memasang papan tanda jalan baharu Persiaran Tun Arshad Ayub di Seksyen 1, Shah Alam pada 28 Jun 2022. Foto MBSA

“Pertukaran nama persiaran ini bagi mengenang jasa Allahyarham Tun Arshad Ayub yang merupakan tokoh pendidikan negara yang dihormati dan disegani.

“Malah, Allahyarham juga banyak berjasa dalam memperkasakan sistem pengajian tinggi negara khususnya pembangunan di UiTM,” maklum kenyataan itu.

Pertukaran nama persiaran itu merangkumi jalan sepanjang 1.62 kilometer yang bermula dari Bulatan Bistari (Seksyen 2 dan Seksyen 3) hingga persimpangan lampu isyarat berhampiran Universiti Selangor kampus Seksyen 7.

Baru-baru ini DYMM Sultan berkenan supaya nama Tun Arshad Ayub diabadikan di salah sebuah jalan di Seksyen 1 bagi menghargai jasa Allahyarham.


Pengarang :