Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar bercakap kepada media selepas merasmikan Taman Permainan Inklusif sempena hari Autisme Sedunia di Taman Reakrasi USJ 11, Subang Jaya pada 22 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ: 16 pemaju, pemilik tanah gagal patuhi peraturan didakwa di mahkamah

SUBANG JAYA, 21 JUN: Seramai 16 pemaju dan pemilik tanah didakwa di mahkamah sejak Januari lalu selepas gagal mematuhi Rancangan Tempatan Subang Jaya 2035 membabitkan denda sebanyak RM79,000.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata daripada jumlah itu, 10 kes membabitkan kilang memproses besi yang beroperasi atas tanah lot kediaman serta meletak kenderaan berat dan barang di kawasan perumahan.

Dato’ Johary Anuar memaklumkan selebihnya membabitkan pusat penjagaan ibu dan bayi yang dibina tanpa kebenaran, pusat penternakan haiwan di kawasan kediaman serta kilang menjual perabot beroperasi di atas lot kediaman.

“Kesemua pesalah didakwa mengikut Seksyen 27(2)(a) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya,” katanya di ibu pejabat MBSJ dekat sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata tindakan pendakwaan terhadap kilang haram akan diteruskan secara agresif bagi memastikan isu pelanggaran undang-undang dapat ditangani demi kesejahteraan penduduk.

“Kita memandang serius aktiviti pembangunan tanpa kebenaran khususnya kilang haram yang didirikan di kawasan kediaman kerana ia boleh memudaratkan keselamatan dan kesihatan penduduk serta alam sekitar.

“Justeru, semua pemaju dan pemilik tanah yang membenarkan kilang haram beroperasi digesa mematuhi peruntukan undang-undang ditetapkan dan segera menghentikan aktiviti terlarang itu,” katanya lagi.


Pengarang :