Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar mempengerusi mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Bilik Mesyuarat Kenanga, ibu pejabat MBSJ pada 20 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ belanja RM23.2 juta urus sisa pepejal, tingkat kebersihan bandar

SUBANG JAYA, 20 JUN: Sebanyak RM23.2 juta dibelanjakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi kutipan sampah dan pembersihan awam sehingga Mei lalu.

Datuk Bandarnya berkata peruntukan itu selari dengan pelan tindakan pembangunan mampan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan untuk melaksanakan pemantauan terhadap kebersihan perbandaran.

Dato’ Johary Anuar memaklumkan sebanyak 112,000 tan sisa pepejal dilupuskan sehingga tempoh berkenaan dengan anggaran 750 tan sehari.

“Pengurusan sisa pepejal merupakan cabaran besar dalam kehidupan khususnya di bandar. Proses perbandaran pesat selain peningkatan jumlah penduduk mengakibatkan semakin banyak barangan dan sisa dibuang.

“Keadaan ini bukan hanya menjejaskan kualiti alam sekitar tetapi menimbulkan masalah kesihatan. Jadi, kita membelanjakan jumlah tersebut kepada KDEBWM untuk urus sampah dan pembersihan,” katanya di ibu pejabat MBSJ di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pemantauan terhadap aduan berkaitan kutipan sampah dan pembersihan awam dilaksana bagi memastikan keadaan persekitaran selesa.

Menurutnya, penjagaan kawasan seperti pemotongan rumput, pembersihan longkang, jalan dan taman awam turut diutamakan bagi mengimbangi pembangunan pesat di kawasan MBSJ.


Pengarang :