Ketua Pegawai Pemasaran Malaysia Book of Records (MBOR) Jwan Heah (dua, kanan) menyampaikan sijil MBOR kepada Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar (tiga, kiri) bagi sistem pengurusan kualiti berasaskan syariah di ibu pejabat MBSJ pada 20 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ diiktiraf Malaysia Book Of Record, PBT pertama urus kewangan patuh syariah

SUBANG JAYA, 20 JUN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini menerima pensijilan Malaysia Book Of Record (MBOR) bagi sistem pengurusan kualiti berasaskan syariah.

Datuk Bandarnya berkata kejayaan itu selepas PBT berkenaan melepasi sembilan skop pensijilan meliputi bayaran, belanjawan, akaun, pinjaman, perolehan, kaunter, kumpulan wang amanah, pelaburan serta terimaan dan bukan hasil.

Menurut Dato’ Johary Anuar, permohonan mendapatkan pengiktirafan dibuat kepada MBOR pada 13 Mei lalu sebelum diluluskan sekali gus sistem pengurusan kewangan MBSJ dikawal mengikut hukum syarak.

“Pensijilan ini memastikan pembangunan dokumentasi mengikut tatacara operasi piawai (SOP). Kita kekal komited bagi sebarang penambahbaikan supaya syariat Islam terpelihara daripada perkara mendatangkan kemudaratan,” katanya.

Sijil disampaikan Ketua Pegawai Pemasaran MBOR Jwan Heah kepada Johary di ibu pejabat MBSJ di sini hari ini.

Dalam pada itu, Johary berkata pihaknya akan melaksanakan pengasingan hasil patuh syariah dan hasil tidak patuh syariah bagi meningkatkan pengurusan kualiti.

“Pemantauan keseluruhan hasil yang tidak patuh syariah kurang lima peratus dan akan dilaporkan dalam mesyuarat jawatankuasa kewangan. Hasil tidak patuh syariah dibelanjakan bagi penyelenggaraan dan pembersihan.

“Kita juga mengguna pakai skim Islamik bagi akaun MBSJ sejak Disember tahun lepas selain pertukaran akaun gaji warga kerja kepada CIMB Konvensional berbanding CIMB Islamic sebelum ini,” katanya.

Beliau menambah pelaburan dipilih berlandaskan syariah seperti Komoditi Murahabah dan penyediaan perlindungan takaful bagi kemudahan perubatan pegawai serta kakitangan.


Pengarang :