Kawasan parkir terhad menyukarkan orang ramai yang mahu berurusan di bangunan berhampiran sekitar Petaling Jaya. Foto SHEEDA FATHIL
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ tangguh pelaksanaan zon dua jam di empat lokasi di Subang Jaya, Puchong

SHAH ALAM, 3 JUN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengumumkan penangguhan pelaksanaan tempat letak kereta zon dua jam di kawasan komersial yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ berkata penangguhan itu dibuat susulan pindaan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Bandaraya Subang Jaya) (Pindaan) 2022 masih belum diluluskan Kerajaan Negeri dan diwartakan.

“Jika tempat letak kereta zon dua jam ini dapat dilaksanakan dalam waktu terdekat ia akan mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan dan masalah parkir bertindih,” kata Muhammad Azli Miswan dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, MBSJ memaklumkan pelaksanaan tempat letak kereta zon dua jam di empat lokasi di jalan utama iaitu zon Subang Jaya di Jalan USJ 10 dan Jalan SS15 serta zon Puchong iaitu di Jalan Bandar Puteri dan Jalan Kenari mulai Rabu lalu.

Muhammad Azli berkata, MBSJ turut menyediakan 1,922 petak tempat letak kereta daripada 10,027 petak tempat letak kereta di semua kawasan komersial itu untuk diwartakan.

“Setakat ini, MBSJ sudah melaksanakan semua urusan penyediaan infrastruktur seperti mengecat petak, pemasangan papan tanda dan penyelarasan aplikasi tempat letak kereta pintar,” katanya.


Pengarang :