Pengasas Jamu Kak Lis, Norliza Zulkifli ketika ditemu bual Selangorkini, baru-baru ini.
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Modal RM300, jamu Kak Lis laris sampai luar negara

Mengeluh panjang Norliza Zulkifli, 42, selepas pulang dari tadika anaknya. Ibu kepada empat cahaya mata itu betul-betul tiada duit bayar yuran. Terpaksa menebalkan muka berjumpa pengetua meminta ansuran.
Gara-gara silap urus perniagaan, pelbagai barangan mewah milik Norliza iaitu Range Rover, Mini Cooper dan Hyundai terpaksa dijual. Tidak lama kemudian, suaminya Mohd Asfanizam Ismail, 47, pula diisytihar muflis.

“Daripada ada tiga kereta sampai tahap hantar anak ke sekolah naik skuter sahaja. Skuter itu pun sudah lama, macam hendak roboh tetapi itulah sahaja kenderaan yang ada,” kata pengasas Jamu Kak Lis mengimbau detik suram pada 2014.

Hasil jualan ketika itu sekadar melunaskan hutang. Tinggallah sedikit baki. Norliza dan suami menggunakan RM300 daripadanya menghasilkan 20 botol jamu Susuk Kembali Dara untuk memulakan jenama Jamu Kak Lis.

Selepas sembilan tahun, jenama itu mempunyai 400 ejen dalam dan luar negara bagi memasarkan 24 produk dengan hasil jualan RM400,000 sebulan.

Jamu mereka turut menembusi pasaran Asia Tenggara, Australia dan Arab Saudi.

Norliza dan Mohd Asfanizam bersama produk keluaran Jamu Kak Lis.

Bantu suami

Semuanya bermula apabila Norliza yakin dengan dua tahun pengalaman sebagai ejen produk melangsingkan badan. Beliau mahu mengeluarkan produk kesihatan dan kecantikan sendiri pada 2013.

Niatnya mahu membantu Mohd Asfanizam yang bekerja sebagai kontraktor kecil meraih pendapatan tambahan. Tanpa disangka, produk kecantikan pertamanya ‘Fast Result’ meletup di pasaran.

“Masa itu jualan kasar RM30,000 hingga RM40,000 sebulan, paling banyak pernah cecah RM60,000. Masa itu mewah sikit tetapi silap kami juga seperti tidak pandai mengurus kewangan, tambah pula ada sabotaj.

“Masa itu perniagaan sudah naik. Media juga ada ambil tahu, selebriti terkenal juga kami taja, bukan sikit tetapi berpuluh ribu sekali taja dan ada yang ambil kesempatan untuk minta taja itu ini tetapi tidak dapat apa-apa pulangan,” kata Norliza.

Kena sabotaj

Selain naif dalam pengurusan kewangan dan pemasaran, mereka disabotaj kakitangan yang cuba menjual resipi kepada pihak lain. Rentetan itu, aliran tunai semakin lemah. Pada 2014, mereka tidak lagi mampu meneruskan perniagaan.

Belajar daripada kesilapan, mereka bangkit dengan dibantu rakan pengilang di Merlimau, Melaka bagi menghasilkan produk kedua bawah jenama Kak Lis.

Pada awalnya, hanya tiga hingga empat pesanan sehari daripada media sosial. Ketika itu, Norliza dan Mohd Asfanizam tidak mampu meningkatkan pengeluaran dan jualan kerana modal tidak mencukupi.

Segalanya berubah pada 2016, apabila rakan mereka memperkenalkan Yayasan Hijrah Selangor kepada pasangan ini.

“Mohon dengan Hijrah paling senang. Sediakan dokumen, tidak lama selepas itu Hijrah datang melawat di rumah sebab masa itu kami belum ada kedai dan kemudian Hijrah hubungi kami beritahu pinjaman RM5,000 lulus.

“Pinjaman Hijrah memang beri lonjakan kepada perniagaan kami, terutama selepas pinjaman ketiga meningkat mendadak,” katanya.

Pinjam lima kali

Norliza dan Mohd Asfanizam bersama produk keluaran Jamu Kak Lis.

Berikutan rekod bayaran baik, mereka membuat lima kali pinjaman sebanyak RM5,000 pada 2016, RM10,000 (2017), RM25,000 (2018), RM50,000 (2020) dan RM100,000 (2021).

Pinjaman dimanfaatkan sebagai modal pusingan, mengikuti kelas pengurusan perniagaan dan membeli mesin pembungkusan serta pengadun bernilai RM80,000 yang diletakkan di kilang memproses produk.

Apabila perniagaan berkembang, Norliza memindahkan operasi dari rumah ke premis baharu di Radia Commercial di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 2019. Pada masa sama, pengeluaran produk diproses di kilang di Merlimau.

Sehingga awal 2020, jualan produk Jamu Kak Lis melalui platform niaga dalam talian seperti Shopee dan 400 ejen dalam serta luar negara meraih jualan RM120,000 hingga RM130,000 sebulan.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan melonjak antara RM170,000 kepada RM200,000 sebulan. Apabila PKP dilonggarkan, Jamu Kak Lis meraih jualan bulanan sekitar RM400,000.

Antara produk mendapat permintaan Kopi Jamu Kak Lis, Tujuh Rahsia Ratu Jamu Jeli, Kamasutra Hygiene Wash Advanced Formula dan Saka Seri Chempaka.

Ketika ini, Norliza berhasrat memiliki kilang sendiri dan menjadi usahawan mentor dalam program Hijrah Selangor.


Pengarang :