Penguat kuasa MPHS menyita peralatan digunakan sebuah syarikat untuk menjalankan aktiviti ‘rope swing’ di Kuala Kubu Bharu, pada 24 Jun 2022. Foto Facebook MPHS
PBT SELANGOR

MPHS keluar kompaun, arah henti aktiviti hayunan tali tinggi tanpa kebenaran

HULU SELANGOR, 27 JUN: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyita peralatan sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti sukan lasak hayunan tali tinggi atau ‘rope swing’ di Kuala Kubu Bharu, 24 Jun lalu.

Yang Dipertuanya Mohd Hasry Nor Mohd berkata operasi dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor dan polis susulan aduan berkenaan aktiviti itu tidak mendapat kebenaran agensi berkaitan, lapor portal Harian Metro.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati tiada aktiviti ‘rope swing’ dijalankan. Bagaimanapun, terdapat satu kabin serta beberapa peralatan sukan ‘rope swing’ di jambatan Pertak yang menutupi sebahagian laluan jalan raya.

“Semasa operasi dijalankan pengurus syarikat terbabit hadir dan dimaklumkan mengenai kesalahan dilakukan. Pihak syarikat akur dan menghentikan operasi sehingga memenuhi syarat ditetapkan” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Hasry berkata MPHS menyita 73 kon dan 34 halangan plastik serta kompaun mengikut Seksyen 46(1)(a) Akta 133 kerana meletakkan apa-apa barang yang boleh menyebabkan halangan di tempat awam.

Beliau turut menyaran operator sukan mendapatkan kebenaran melakukan aktiviti daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Sehingga kini, tiada kelulusan dikeluarkan JKR Hulu Selangor bagi penggunaan jambatan yang berkaitan untuk menjalankan aktiviti tersebut.

“MPHS juga tidak pernah mengeluarkan sebarang kebenaran atau kelulusan lesen untuk beraktiviti,” katanya.


Pengarang :