Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Mohd Hasry Nor Mohd (lima, kanan) bersama penerima Geran Khas Komuniti Mampan pada majlis minum petang pada 15 Jun 2022. Foto MPHS
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

MPHS perkenal geran khas RM100,000 bagi biayai program alam sekitar

SHAH ALAM, 17 JUN: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memperkenalkan geran khas dengan peruntukan RM100,000 bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penjagaan alam sekitar.

Yang Dipertuanya Mohd Hasry Nor Mohd berkata Geran Khas Komuniti Mampan itu adalah permulaan kepada program hijau dan mampan anjuran masyarakat setempat.

“Dengan adanya geran ini serba sedikit dapat membantu komuniti melaksanakan program atau projek melalui peruntukan yang disediakan bagi meningkatkan kualiti hidup serta persekitaran.

“Pada masa sama, ia juga bertujuan menggalakkan komuniti mengamalkan gaya hidup rendah karbon selari dengan agenda Smart Mampan Hulu Selangor, Bandar Selamat dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs),” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Hasry menjelaskan, pihaknya menerima 30 penyertaan iaitu lapan bagi kategori teknologi hijau dan 22 bagi kategori alam sekitar.

Katanya, kesemua penyertaan itu dinilai di bawah kategori teknologi hijau dan alam sekitar.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, hanya 21 penyertaan dipilih berdasarkan kriteria persekitaran mampan dan layak menerima geran khas berkenaan.

“Alhamdulillah, sambutan amat baik namun hanya 21 penyertaan diluluskan berdasarkan kriteria persekitaran mampan. Tahniah kepada yang berjaya.

“Justeru, MPHS bersetuju membuka penyertaan bagi fasa dua Program Geran Khas Komuniti Mampan Majlis Perbandaran Hulu Selangor 2022 kerana sambutan yang amat menggalakkan,” katanya.

Upacara penyerahan Geran Khas Komuniti Mampan kepada 21 penerima itu dilakukan pada 15 Jun lalu dalam majlis minum petang di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

Majlis itu dirasmikan oleh Mohd Hasry dengan dihadiri Pegawai Daerah Hulu Selangor Mohamad Hanafe Basri dan Orang Besar Daerah Hulu Selangor Raja Dato’ Muzaffar Raja Redzwa.


Pengarang :