Anggota penguat kuasa MPKS memasang pita arahan penutupan sebuah kilang baja di Bagan Tengkorak, Tanjung Karak yang beroperasi tanpa lesen dalam operasi bersepadu pada 14 Jun 2022. Foto Facebook MPKS
PBTSELANGOR

MPKS: Kilang baja operasi tanpa lesen diarah tutup

SHAH ALAM, 18 JUN: Sebuah kilang baja di Bagan Tengkorak, Tanjung Karang diarah tutup serta-merta atas kesalahan beroperasi tanpa lesen.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berkata pemilik premis terbabit turut dikompaun dalam operasi bersepadu dijalankan 15 anggota penguat kuasa bersama Jabatan Alam Sekitar dan polis Kuala Selangor pada 14 Jun lalu.

“Operasi ini dijalankan berikutan aduan orang awam mengenai gangguan bau busuk dihasilkan kilang tersebut yang memproses sisa ayam sebagai baja pertanian.

Anggota penguat kuasa MPKS menyita dua unit jentera forklift dan seunit pemampat udara di sebuah kilang baja yang beroperasi tanpa lesen dalam operasi bersepadu pada 14 Jun 2022. Foto Facebook MPKS

“Susulan itu, kilang berkenaan diarah tutup dan dikompaun kerana tiada lesen aktiviti mengilang. Sitaan turut dikenakan melibatkan dua unit jentera forklift dan seunit pemampat udara,” kata Rahilah Rahmat dalam kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kilang terbabit beroperasi selama tujuh bulan di kawasan terlindung dengan aktiviti pertanian

“Selain itu, pihak pengusaha juga gagal menyediakan persekitaran yang bersih sehingga mengeluarkan bau busuk,” katanya.


Pengarang :