Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi (kanan) menyampaikan taklimat ringkas kepada pasukan berbasikal ketika sesi latihan pada 14 April 2022. Foto Facebook MSNS
AGENDABERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

MSN Selangor kekal sasar tiga kelompok terbaik pada Sukma 2022

SHAH ALAM, 10 JUN: Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) kekal dengan sasaran untuk berada di kelompok tiga terbaik dengan kutipan 40 pingat emas pada penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-20.

Pengarah eksekutifnya berkata walaupun Sukma ke-20 diadakan dua minggu lebih awal iaitu mulai 16 hingga 24 September sempena Hari Malaysia, pihaknya yakin atlet mampu memberikan cabaran.

Mohamad Nizam Marjugi berkata lebih 500 atlet akan bersaing pada temasya terbabit dalam 31 jenis sukan dipertandingkan.

“Kita hantar semua wakil (bagi setiap jenis sukan) tetapi bergantung kepada keadaan dan prestasi semasa. Kita pun tidak mahu hantar atlet yang terlalu teruk.

“Prestasi seseorang atlet berkait rapat dengan soal latihan. Jadi kita sukar untuk meramalkan kekuatan mereka disebabkan waktu latihan tidak cukup termasuk kelebihan atlet dari negeri lain,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengakui khuatir perubahan saat akhir tarikh penganjuran Sukma itu akan menjejaskan persiapan atlet negeri ini berikutan tempoh latihan terlalu singkat.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akur dengan keputusan Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang melonggarkan beberapa tatacara operasi piawai (SOP) kejohanan kali ini berbanding temasya terdahulu.

“Kita tiada masalah dengan tarikh itu sebab Sukma tahun ini peraturan tidak ketat. Jika atlet catat rekod baharu sekalipun, ia tidak dikira rekod kerana penganjurannya bagi memastikan Sukma tidak ‘mati’.

“Cuma bimbang daripada segi persiapan, jika sebelum ini latihan dibuat secara mingguan, tetapi kalau ada masa sesuai mereka (atlet) perlu buat latihan pusat.

“Atlet sudah dimaklumkan berhubung tarikh baharu ini, mahu atau tidak mereka kena sentiasa bersedia,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Terdahulu, menteri belia dan sukan mengumumkan Sukma ke-20 diawalkan dua minggu bermula 16 hingga 24 September manakala Para Sukma 1 hingga 6 November di sekitar Lembah Klang.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ia berikutan penundaan Sukan Asia Hangzhou yang sebelum ini dijadual pada 10 hingga 25 September bagi memberi ruang kepada penganjur menggunakan kemudahan universiti awam untuk penempatan atlet ketika cuti semester.


Pengarang :