Orang ramai membeli barang keperluan asas bagi membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dalam Karnival Jualan Mega Prihatin anjuran PKPS di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri bangun ladang jagung bijirin, kurang kos import makanan ternakan

SHAH ALAM, 2 JUN: Selangor bersedia menjadi pelopor tanaman jagung bijirin bagi kegunaan makanan ayam serta ternakan haiwan ruminan sekali gus mengurangkan kebergantungan import.

EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata pelbagai usaha dilaksanakan antaranya menjalin kerjasama dengan negeri lain untuk membangunkan tanah bagi tanaman jagung bijiran.

“Kita sudah bekerjasama dengan Negeri Sembilan, kita ada 700 ekar tanah iaitu 400 ekar di Negeri Sembilan dan 300 ekar di Selangor, malah jika ada 10,000 ekar tanah untuk buat ladang sekali pun masih tidak cukup.

“Kita akan minta kerjasama dengan negeri lain yang bersedia dan kita akan bantu tanam jagung bijirin. Pihak yang mahu bekerjasama dengan Selangor tidak perlu bimbang kerana ayam tidak berkurangan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Benih Tanaman Selangor yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin di Selangor Fruit Valley di sini, hari ini.

Antara benih yang ditanam ialah dua jenis melon rangup dan manis serta dua jenis jagung dan betik termasuk satu jagung bijiran untuk dijadikan makanan haiwan.

Pada 18 Mei,  Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) atau MBINS untuk kerjasama tanaman jagung bijirin.

Dato’ Menteri Besar berkata projek tanaman jagung bijirin di Kuala Langat Selatan dan Kuala Langat di Selangor serta Gemas di Negeri Sembilan dijangka mengurangkan kebergantungan bekalan import.

Projek yang menelan belanja RM3 juta itu akan bermula sebaik kerja pembersihan tanah selesai yang dijangka pada suku ketiga tahun ini.


Pengarang :