Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) Dr Fahmi Ngah memberi taklimat kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (duduk, dua kanan) di Pusat Operasi C5i Smart Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 3 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Negeri bangun sistem kongsi data daerah, tingkat kecekapan urus bencana

AMPANG, 20 JUN: Sejumlah RM300,000 dibelanja Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bagi membangunkan sistem digital perkongsian data bencana di negeri ini.

Pengarah urusannya berkata tempoh enam bulan diambil untuk melengkapkan pembangunan sistem yang meningkatkan keupayaan bantuan operasi bencana seperti banjir dan tanah runtuh di setiap daerah.

Dr Fahmi Ngah menjelaskan inisiatif itu dilaksana selepas melihat kesukaran dihadapi ketika operasi bantuan banjir Disember tahun lalu berikutan tiada data penduduk, pusat pemindahan sementara (PPS) dan bantuan.

“Sistem ini membolehkan maklumat di peringkat daerah dikongsi antara agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Unit Bencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan hospital,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan aset komunikasi teknologi (ICT) kepada pejabat tanah dan daerah (PTD) Hulu Langat serta Sepang sempena Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas dekat sini semalam.

Aset meliputi dua komputer riba dan sebuah televisyen pintar yang dilengkapi sistem berkenaan disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Dr Fahmi berkata perkakas sama akan diagih kepada tujuh PTD dalam jelajah sama di daerah ditetapkan.

“Pelaporan data boleh diisi secara digital dalam alatan tersebut dan terus sampai kepada Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :