Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura sumbangan bernilai RM10,000 kepada Pengetua SMK Kampung Jawa Datin Aisah Jaman pada 23 Jun 2022. Foto Facebook Zawawi Mughni
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Negeri bantu SMK Kampung Jawa raih kemenangan peringkat dunia

SHAH ALAM, 23 JUN: Kerajaan Negeri akan menyelaras gerak kerja penambahbaikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Jawa, Klang yang tercalon sebagai 10 sekolah terbaik dunia.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata bantuan itu merupakan salah satu penyumbang markah untuk melayakkan sekolah berkenaan meraih tempat pertama kategori ‘Menangani Cabaran’.

Jelas Mohd Zawawi Ahmad Mughni perkara itu dibincangkan pagi tadi sewaktu perjumpaan barisan pimpinan sekolah di bawah pentadbirannya dengan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Gerak kerja ini juga akan melibatkan Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Kandis. Dato’ Menteri Besar turut menyampaikan cek sumbangan RM10,000 sebagai penghargaan kepada sekolah,” katanya di Facebook.

Pada 9 Jun, T4 Education dalam kenyataan memaklumkan anugerah yang dilancarkan pada tahun ini dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Templeton World Charity Foundation, Accenture dan American Express itu menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai AS$250,000.

Menurut kenyataan itu tiga finalis terbaik akan dipilih untuk setiap lima kategori Anugerah Sekolah Terbaik Dunia iaitu Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi, Menangani Cabaran dan Menyokong Kehidupan Sihat.

Pemenang bagi setiap kategori yang akan diumum pada Minggu Pendidikan Dunia pada 16 hingga 21 Oktober depan yang akan menerima AS$50,000.

Selain SMK Kampung Jawa, Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang di Kuantan, Pahang tercalon bagi kategori ‘Inovasi’.


Pengarang :