Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan program Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri belanja RM157 juta setahun program kebajikan, manfaat semua isi rumah

KUALA LANGAT, 25 JUN:  Sebanyak RM157 juta setahun diperuntuk Kerajaan Negeri untuk kluster kebajikan keluarga bagi memastikan lebih ramai isi rumah menerima manfaat.

Dato’ Menteri Besar berkata  program kebajikan itu adalah antara yang terbesar dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang secara keseluruhannya berjumlah RM600 juta.

“Dalam kluster ini, kita ada pelbagai program antaranya Jom Shoping perayaan dengan peruntukan lebih RM7 juta, kita juga ada Iltizam Anak Selangor iaitu simpanan yang memberikan tabungan untuk masa depan anak-anak.

“Kita juga ada Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bernilai RM100 yang boleh ditebus bila-bila masa dengan syarat berusia 60 tahun ke atas, selain sumbangan khairat kematian,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada program Jelajah Selangor Penyayang yang diadakan di Dataran Pantai Morib di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan dalam kluster kebajikan keluarga itu, program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM108 juta.

Sebanyak RM600 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri setahun bagi menjayakan ISP yang ditambah baik dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Program Jelajah Selangor Penyayang yang bermula 19 Jun lalu di padang Taman Kosas, Ampang adalah usaha Kerajaan Negeri memperkenal pelbagai inisiatif baharu bagi membolehkan lebih ramai menerima manfaat.

Program bantuan rakyat seterusnya di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai, diikuti Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (16 Julai) dan Padang Awam Batu Caves, Gombak (31 Julai).

Orang ramai memeriksa mata pada program Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :