EXCO Hal Ehwal Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni (kiri) menyerahkan cek cura berjumlah RM300,000 kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL Mohd Khair Ngadiron (kanan) sambil disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada 4 Jun 2022. Foto ihsan PPAS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Negeri salur dana RM300,000 jayakan PBAKL 2022

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Kerajaan Negeri menyumbang dana berjumlah RM300,000 sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berkata dana tersebut adalah hasil kutipan daripada 19 agensi berkaitan kerajaan (GLC) yang dihimpunkan di Pavilion Selangor.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita menjadi negeri tamu termasuk salah satu pihak yang menaja PBAKL kali ini. Oleh sebab itu penganjur menyediakan ruang agak luas untuk tempatkan agensi terbabit bagi memberi penerangan kepada pengunjung berhubung perkhidmatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di PBAKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini.

Cek cura disampaikan EXCO Hal Ehwal Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL Mohd Khair Ngadiron semalam.

Penyerahan tersebut turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin.

Agensi terlibat seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Tourism Selangor, KDEB Waste Management (KDEBWM), Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dan Perbadanan Adat dan Warisan Negeri Selangor.

Agensi lain meliputi Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), Yayasan Selangor, Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

PBAKL 2022 kembali dianjurkan selepas dua tahun tertangguh akibat Covid-19 dan menyasar kehadiran sehingga sejuta pengunjung selama 10 hari berlangsung.


Pengarang :