Petugas Kumpulan Aerodyne ketika sedang mengendalikan dron di sekitar ibu kota. Foto Ihsan Kumpulan Aerodyne
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Nombor satu dunia, syarikat Malaysia diiktiraf pakar analisis data dron

Di sebalik kejayaan Kumpulan Aerodyne menjadi penyedia perkhidmatan dron nombor satu dunia, syarikat tempatan itu pernah melalui saat duka apabila banyak syarikat gergasi dalam negara menolak kertas cadangan perkhidmatan lapan tahun lalu. Ketua Pegawai Eksekutifnya Kamarul A Muhamed ketika itu membawa idea untuk menganalisis data menerusi rakaman dron yang disokong teknologi kecerdasan buatan (AI).

Kamarul kemudian membawa perkhidmatannya ke luar negara dan keputusan berkenaan menjadi langkah kanan buat syarikatnya. Wartawan Amin Ridzuan Ishak berkongsi kisah Aerodyne bermula dari bawah kemudian berkembang ke peringkat antarabangsa dalam temu bual tokoh korporat berkenaan pada 27 April.

Kamarul A Muhamed masih ingat kesukaran ketika hendak memperkenalkan penggunaan dron dalam industri pada 2014. Pada waktu itu kebanyakan orang cenderung menggunakan pesawat berkenaan semata-mata untuk mengambil gambar atau video perkahwinan. Anak tempatan berasal dari Tumpat, Kelantan itu berazam untuk mengubah penggunaannya kepada peralatan yang membantu menyelesaikan masalah.

Malangnya hasrat Kamarul, 55, tidak disambut banyak pihak termasuk syarikat-syarikat gergasi dalam negara. Puas beliau dan pasukannya turun naik pejabat untuk memperkenal perkhidmatan itu tetapi ditolak. Lulusan perakaunan dari Universiti Nottingham Trent, United Kingdom (UK) itu masih ingat pertemuannya dengan banyak syarikat berakhir dengan kehampaan.

Mereka cenderung memilih khidmat dari luar negara meski kepakaran mereka lebih kurang sama. Mujur sebagai individu yang minat dan percaya kepada penggunaan teknologi dalam memudahkan kehidupan seharian, Kamarul tidak berputus asa. Tidak dapat projek di Malaysia, beliau mencari peluang di luar negara dengan bantuan kenalan serta hubungannya dalam industri semasa mengetuai syarikat berkaitan teknologi maklumat (IT) dari Amerika Syarikat ketika berusia 30 tahun.

“Ketika mula beroperasi saya berjumpa dengan syarikat gergasi di Malaysia (untuk menawarkan perkhidmatan) tetapi mereka tidak percaya dengan orang tempatan, hati saya geram dan sakit hati bila mendengarnya. Sebab itu bila kami putuskan operasi ke luar negara pada 2017, saya berazam buktikan mereka salah. Tiga bulan di Australia kami dapat projek bernilai RM20 juta, itu bukti orang luar lebih menghargai bakat tempatan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne Kamarul A Muhamed memberi penerangan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengenai penggunaan dron pada 13 April 2021. Foto Facebook Amirudin Shari

Operasi di 35 negara

Kejayaan memeterai perjanjian yang terbesar buat Aerodyne pada waktu itu cukup manis untuk Kamarul. Bukan sahaja cita-citanya sejak bangku sekolah untuk memiliki syarikat bertaraf antarabangsa menjadi realiti, malah secara tidak langsung menjawab ketidakyakinan pihak tertentu terhadap kemampuan anak tempatan.

Sejak itu, Aerodyne yang bermula dengan hanya tiga pekerja berkembang pesat dengan memiliki 900 pekerja dan beroperasi di 35 negara. Syarikat itu turut mempunyai wakil di Eropah, Timur Tengah, Amerika Utara dan Carribean, Asia Tengah serta Amerika Selatan. Wakil syarikat turut ditempatkan di India, Australia, New Zealand, Indonesia, Jepun dan China. Dalam proses itu, Aerodyne turut membeli beberapa syarikat luar negara untuk mengukuhkan kedudukannya di pasaran dunia.

Tahun lalu, syarikat berpangkalan di Cyberjaya, Sepang itu mendapat pengiktirafan kedudukan pertama bagi kategori penyedia perkhidmatan dron oleh kumpulan penyelidikan industri dron Jerman – DRONE Industry Insight. Permintaan terhadap perkhidmatan syarikat itu juga meningkat di dalam dan luar negara. Setakat 31 Disember 2021, Aerodyne diberi tanggungjawab memeriksa dan menganalisis 560,000 aset penting selain 380,000 kilometer (km) talian tenaga dan 7,300 kincir angin di seluruh dunia.

“Selepas itu baru orang pandang kami. Pandangan seperti itu (tidak yakin dengan kemampuan kepakaran dan teknologi anak tempatan) harus diubah. Macam di China, kerajaan dan syarikat di sana utamakan pengusaha dari negara itu sendiri.

“Begitu juga dengan Korea Selatan sehingga wujud syarikat gergasi seperti Samsung dan LG, mereka berkembang sebab diberi peluang. Sekarang di Malaysia sudah ada perubahan namun belum lagi mencapai tahap memuaskan,” jelas anak kepada pesara askar itu.

Aerodyne mengubah penggunaan dron daripada peralatan merakam gambar dan video perkahwinan atau rekreasi kepada instrumen yang mampu menyelesaikan masalah dengan kos berpatutan.

Murah dan tepat

Perkhidmatan TD3 (Teknologi Dron, Teknologi Data dan Transformasi Digital) disediakan Aerodyne meliputi pengambilan visual, menganalisis data serta mencadangkan penyelesaian bersesuaian. Kaedah itu mampu mengenal pasti masalah dengan segera, tepat, murah dan selamat berbanding cara konvensional.

Contohnya bagi memeriksa dan menguruskan menara telekomunikasi yang lazimnya mengambil masa tiga hingga lima hari, Aerodyne melakukannya dalam sehari sahaja. Begitu juga untuk memantau talian elektrik, penjimatan kos boleh dikurangkan sebanyak 20 peratus.

Gangguan operasi dalam bidang minyak dan gas bagi memberi laluan kepada pemeriksaan peralatan juga dapat dikurangkan.

Ketika Covid-19 menular di seluruh dunia pada Mac 2020, ada syarikat di Selangor yang mengusahakan tanaman sawit hampir gulung tikar disebabkan kekurangan tenaga buruh. Tetapi, hasil bantuan analisis Aerodyne, syarikat tersebut dibantu sehingga nilainya meningkat.

“Memang ada teknologi dron yang terbang merakam gambar atau video, tetapi itu sahaja tiada nilainya. Kita harus memproses data, buat pencerapan dan kesimpulan supaya pelanggan buat keputusan tepat.

“Contoh bila hendak periksa keadaan sesuatu aset, mungkin dahulu kos mahal kerana perlu terbangkan helikopter tetapi sekarang ada dron tetapi harus digabungkan dengan analisis yang turut memanfaatkan IOT (internet pelbagai benda),” jelas Kamarul.

Selangor sebagai negeri paling maju dan berhasrat menjadi pemain utama industri aerongkasa pada peringkat global turut memanfaatkan kebolehan Aerodyne. Pada April tahun lalu, Kerajaan Negeri dan syarikat itu menjalinkan kerjasama untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang dron.

Setakat ini, sekitar 70 anak Selangor dilatih dan ada diambil bekerja dengan Aerodyne. Kumpulan ini pastinya beruntung kerana berpeluang bekerja dengan syarikat bertaraf antarabangsa serta terbaik di dunia. Aerodyne juga bercadang membantu Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pengeluaran pertanian menerusi penggunaan dron serta datanya pada masa depan.

Pasukan pengendali dron Kumpulan Aerodyne. Foto Ihsan Kumpulan Aerodyne

Dilantik profesor

Kerjasama itu dicapai hasil komitmen tinggi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk meningkatkan bidang aeroangkasa memacu pertumbuhan ekonomi dan memanfaatkan masyarakat terutama generasi muda. Kamarul berpendapat, Selangor di landasan tepat menerusi pelbagai inisiatif diwujudkan.

“Komitmen Dato’ Menteri Besar amat membanggakan dan saya percaya bidang aeroangkasa di negeri ini boleh berkembang pesat. Tahun lalu, Pameran Udara Selangor yang dianjurkan dapat menarik minat pelabur dari luar negara.

“Kami sendiri mendapat sokongan dan berjaya mewujudkan pusat kecemerlangan dron di Dengkil (Sepang),” kata Kamarul yang turut dilantik sebagai ahli majlis aeroangkasa Selangor.

Kejayaan Kamarul membawa nama Aerodyne ke peringkat antarabangsa dan mengharumkan nama negara juga melayakkannya menerima pelbagai pengiktirafan. Antaranya diangkat sebagai 300 individu berpengaruh di Asia pada 2021 oleh majalah Tatler Asia.
Pengiktirafan itu hasil usahanya membangunkan Aerodyne yang menyediakan penyelesaian dalam kehidupan seharian.

Beliau juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia, Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dan Ahli Majlis Ekonomi Digital & 4IR Negara. Tanggungjawab itu membolehkannya membantu kerajaan menyediakan dasar sesuai perkembangan semasa dan bidang berasaskan ekonomi digital. Universiti Putra Malaysia dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor turut melantiknya sebagai profesor adjung. Kamarul cukup berbesar hati menerima penghargaan itu kerana dapat menyumbang kembali kepada negara.

“Saya suka memberi motivasi kepada pelajar kerana mereka adalah pelapis pada masa depan. Saya cuba bantu dengan beri gambaran dan cabaran di industri supaya mereka bersedia termasuk dalam soal minda serta perwatakan.

“Saya tidak mahu bakat-bakat ini bila keluar nanti mereka tiada kerja sebab tidak bersedia dengan perubahan. Mereka harus sedar teknologi terutamanya sentiasa berubah dan kesannya besar dalam kehidupan,” ujarnya.

Pasukan pengendali dron Kumpulan Aerodyne. Foto Ihsan Kumpulan Aerodyne

Pencapaian dan projek Aedodyne

  • Amerika Syarikat (2021): Pemetaan untuk hasilkan model 3D maya TIAA Bank Field di Florida, stadium pasukan Jacksonville Jaguars yang beraksi di liga utama Amerika Syarikat
  • Malaysia (2021): Memorandum persefahaman untuk latih pelajar institusi negeri iaitu Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)
  • Kedudukan 2021: Aerodyne disenarai penyedia khidmat dron nombor satu dunia oleh penyelidik pasaran dron dari Jerman, Drone Industry Insights
  • United Kingdom (2020): Mengendali dron bagi menyelenggara aset pelabuhan kapal dan terminal penyimpanan kargo seliaan Associated British Ports (ABP)
  • Malaysia (2020): Rakam banjir besar yang landa beberapa negeri pada Disember bagi permudah penghantaran bantuan
  • India (2020): Guna kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) untuk pantau pematuhan tatacara operasi piawai Covid-19 di New Delhi
  • Kedudukan 2020: Kedua
  • Australia (2018): Wujud sistem pantau sektor pengeluaran daging dan penternakan bernilai AUD5.1 juta
  • Kedudukan 2018: Ketujuh
  • Malaysia (2016): Pantau talian jana elektrik Tenaga Nasional Berhad

Pengarang :