Kepetahan dan gelagat Raja Azura yang mencuit hati pasti akan membuatkan sesiapa sahaja terhibur.
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Nostalgia di konti, Raja Azura rindu layan telatah pendengar

Siapa tidak kenal dengan Raja Azura atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Engku. Kepetahan dan gelagatnya yang mencuit hati pasti akan membuatkan sesiapa sahaja terhibur.

Namanya mula dikenali ketika membintangi drama bersiri seni bela diri pada 1994 dan kemudian membentuk kelompok peminat tersendiri apabila berlakon siri drama Mat Despatch yang ditayangkan antara 1998 hingga 2002.

Wartawan Norrasyidah Arshad menemu bual Raja Azura mengenai karier seni ketika menemuinya baru-baru ini.

Pengalaman 10 tahun menjadi penyampai Sinar FM, antara kenangan indah Raja Azura atau Kak Engku sepanjang menceburi dunia seni. Meski lebih lima tahun meninggalkan konti, rasa rindu untuk menghiburkan pendengar sering menggamit jiwanya.

Raja Azura, 50, yang juga pelakon dan pengacara popular mengakui saat paling diingati semasa bertugas pada Ramadan. Dalam sebulan, tempoh itu dianggap istimewa memandangkan lagu raya dipasang untuk halwa telinga pendengar.

Apabila stesen radio memainkan lagu raya, dia pasti menjadi penyampai paling gembira. Saat itu dinanti penuh sabar hampir saban tahun.

Ragam bersahaja Raja Azura semasa menjadi hos Senandung Aidilfitri 2022 menyerikan suasana.

Pemilik nama sebenar Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin gemar memainkan lagu Suasana Hari Raya nyanyian Anuar Zain dan Elina. Ibu kepada tiga cahaya mata itu turut mengakui bahawa beliau sama bernyanyi ketika lagu itu berkumandang.

“Suasana hari raya…walau di mana pun jua… memberikan ketenangan dan mententeramkan jiwa. Seronok bila nyanyi bait-bait ni.

“Walaupun lagu ini sudah lama, tapi auranya sampai sekarang. Budak-budak pun tahu nyanyikan walaupun lagu ini sudah lama,” katanya.

Meski meninggalkan konti sejak hujung 2015, rasa teruja terhadap lagu raya masih sama. Cuma kali ini berbeza. Hanya menantikan di corong radio, tidak seperti dahulu, bebas memilih lagu untuk dimainkan.

Yang kekal sama adalah lagu nyanyian artis lama. Walaupun banyak lagu raya baharu dicipta, namun tidak mampu menawan hatinya.

“Dari pagi sudah pasang radio. Kalau nak raya, pagi petang dengar radio sambil mengemas, memasak. Aura lagu raya terutama dinyanyikan artis lama-lama ini lain.

“Bukan lagu sekarang tidak sedap didengar cuma kita lebih suka dengar lirik lagu dahulu. Halus bahasa, terus menusuk ke hati.

“Lirik tersusun dan cantik bahasanya. Macam lagu Dendang Perantau, ‘lelaki sado’ pun boleh mengalir air mata kalau hayati liriknya,” katanya berseloroh ketika ditemui pada 31 April lalu.

Jadi pengacara

Pada 22 November 2015, Raja Azura mengundurkan diri daripada Sinar FM. Pengumuman itu sekali gus menjadi titik persaraan kerjayanya sebagai penyampai radio.

Pengunduran sebagai pengendali segmen Sinar Pagi dari 6 hingga 10 pagi setiap Isnin hingga Ahad diganti dengan Kumpulan Sepahtu dianggotai Jepp, Shuib dan Rahim.

Raja Azura yang menceburkan diri dalam dunia seni sejak 1990 terus aktif sebagai pengacara. Antara rancangan pernah dikendalikannya Melodi, Kilauan Emas, Mingguan Wanita, Kuali Anak Felda dan Ceria Megastar Musim Kedua.

Dia turut menjadi juri rancangan realiti The Masker Singer Malaysia yang disiar pada awal tahun ini.

Kerjaya sebagai pelakon pernah terhenti sementara sebelum Raja Azura kembali menghiasi kaca televisyen pada 2020 menerusi drama bersiri 30 episod Jujurlah Nikahi Aku selepas sembilan tahun menyepi.

Ragam bersahaja Raja Azura semasa menjadi hos Senandung Aidilfitri 2022 menyerikan suasana.

Tahun ini juga menyaksikan Raja Azura kembali ke pentas wayang gambar menerusi filem Tiga Janda Melawan Dunia. Menerusi filem tersebut, Raja Azura memegang watak sebagai Kak Ani.

Pada filem berkenaan Kak Ani merupakan janda bersama dua orang rakannya iaitu Midah lakonan Khatijah Tan dan Rohayu oleh Normah Damanhuri yang berusaha untuk mengumpul duit membeli tiket konsert penyanyi pujaan mereka.

Sebagai pengacara, beliau sudah membuat penampilan dua kali dalam rancangan Senandung Aidilfitri anjuran Kerajaan Selangor. Bergandingan bersama Sissy Iman, Bell Ngasri dan Azlee Senario, mereka menjayakan sketsa bertema bantuan banjir, gelagat raya dan makanan tradisi masyarakat Jawa seperti nasi ambeng.

Tahun lalu Raja Azura turut diundang sebagai hos, bersama pelawak terkenal Salih Yaacob dan Ropie Cecupak.

Progam hiburan di portal selangortv.my dan media sosial itu disiarkan tahun lalu ketika larangan balik kampung akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mengacara zaman dahulu tak sama dengan sekarang. Dahulu agak susah nak dapat (hos) berbanding sekarang yang sudah ada media sosial. Senang nak promosikan diri sendiri.

“Cuma bila kita susah (dahulu), kita lebih menghargai usaha sendiri. Kita akan pastikan tanggungjawab ditunai sebaik mungkin sebab kita mahukan tawaran lain.

“Untuk adik-adik yang baharu ceburkan diri dalam bidang pengacaraan ini, kena tabah. Terima teguran dari siapa sahaja untuk jadi lebih baik,” katanya memberi nasihat.

Dia juga pernah tersenarai sebagai penerima Anugerah Jenama Asia anjuran majalah antarabangsa Reader’s Digest menerusi kategori Penyampai Radio Paling Dipercayai pada 2016 dan 2020.

Di samping itu, Raja Azura pernah menjulang trofi Pengacara TV Wanita Popular dan Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

Berkongsi cerita Syawal yang dirai bulan lalu, dia yang bergelar ibu tunggal sejak 2010 berkata sambutan Aidilfitri secara sederhana bersama tiga anak iaitu Megat Muhammad Raziq, 20, Megat Luqman Hakim, 19 dan Puteri Mia Maizurah, 17.

“Saya memang duduk sini. Keluarga, adik beradik semua dekat sini. Jadi tak ada yang menariknya tentang raya saya. Macam hari-hari biasa cumanya dapat berkumpul dan ada pelbagai menu.

“Masa PKP dulu, tak macam orang lain sebab semua keluarga dekat-dekat.

“Cumanya kalau dulu, bila nak raya siang malam saya kerja. Tapi sekarang tak lagi. Persiapan pun lebih utamakan keperluan anak-anak,” katanya.


Pengarang :