Keadaan aliran trafik menghala ke ibu kota sesak selepas Plaza Tol Gombak berikutan pertambahan jumlah kenderaan susulan warga kota mula pulang ke rumah masing-masing selepas bercuti di kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri di Gombak pada 6 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pakar: Jumlah kenderaan melebihi populasi rakyat punca kesesakan trafik

SHAH ALAM, 10 JUN: Jumlah kenderaan di negara dilaporkan melebihi bilangan penduduk, iaitu peningkatan sekurang-kurangnya sejuta kenderaan setahun sejak 2019.

Menurut pakar keselamatan jalan raya Universiti Putra Malaysia, Professor Dr Kulanthayan K.C. Mani sebanyak 33.3 juta kenderaan berdaftar di seluruh negara tahun lalu berbanding jumlah penduduk seramai 32.6 juta.

Daripada jumlah itu, 47.3 peratus adalah kereta, motosikal (46.6 peratus), kenderaan perdagangan (4.7 peratus)dan baki adalah bas, teksi, kereta sewa pandu sendiri dan lain-lain jenis kenderaan.

“Berikutan peningkatan jumlah kenderaan melebihi populasi penduduk, jadi tidak hairanlah kesesakan trafik semakin teruk di seluruh negara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Jika aliran ini berterusan iaitu meningkat sejuta setiap tahun, kita bakal berdepan kesesakan trafik yang lebih dahsyat ,” katanya kepada New Straits Times.

Pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan itu berkata, pengenalan pengecualian cukai perkhidmatan dan jualan kenderaan pada Jun 2020 mendorong orang ramai membeli kenderaan persendirian.

“Jangkitan Covid-19 menyebabkan ibu bapa menghantar sendiri anak ke sekolah berbanding memilih bas sekolah yang boleh memuatkan 30 pelajar kerana bimbang dijangkiti.

“Selain itu, perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), komuter dan pengangkutan awam lain yang sering tergendala sejak kebelakangan ini mengakibatkan orang ramai enggan menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Justeru beliau berkata, orang ramai tidak mempunyai pilihan selain menggunakan kenderaan sendiri sama ada untuk berulang-alik ke tempat kerja atau urusan lain.

Dr Kulanthayan berkata cadangan untuk membina lebuh raya dan melebarkan jalan juga tidak mampu menangani masalah kesesakan, sebaliknya kerajaan diminta menambah baik pengangkutan awam sedia ada.

“Mutu perkhidmatan pengangkutan awam perlu dipertingkat bagi memberi keyakinan kepada orang ramai untuk memilihnya berbanding memandu kenderaan sendiri,” katanya.


Pengarang :