Syarikat Embraer berkongsi kepada pemain industri jet penerbangan komersial keluaran syarikatnya, E195-E2 yang menggunakan teknologi baharu seperti penjimatan minyak pada Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau Skypark, Subang pada 25 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran Udara Selangor 2022 sasar potensi transaksi RM700 juta

SHAH ALAM, 21 JUN: Pameran Udara Selangor 2022 (SAS 2022) dijadual berlangsung selama tiga hari mulai 8 September ini dengan sasaran potensi nilai transaksi RM700 juta.

EXCO perdagangan berkata edisi kali kedua itu dijangka menarik 8,000 pengunjung dengan penyertaan lebih 70 ruang pameran syarikat dari dalam dan luar negara, lapor Sinar Harian.

Menurut Dato’ Teng Chang Khim, pameran yang akan diadakan di Skypark Regional Aviation Centre (RAC), Subang turut mempamerkan 30 kapal terbang dan helikopter termasuk jet peribadi mewah.

“SAS 2022 membuka peluang jaringan perniagaan kepada pemain industri selain pendedahan serta ilmu mengenai dunia penerbangan termasuk teknologi dron kepada umum.

“Pada masa sama, penganjuran ini memberi idea buat golongan muda mengenai bidang kerjaya yang boleh diteroka dalam sektor penerbangan,” katanya dalam sebuah majlis di Petaling Jaya.

Chang Khim berkata Itali, New Zealand dan Turki antara enam negara yang menyertai pameran tahun lalu dan jumlahnya dijangka bertambah melalui jemputan ke beberapa negara lain.

“Mereka yang berminat untuk turut serta dalam pameran ini boleh melayari laman sesawang www.selangoraviationshow.com bagi pendaftaran,” katanya.

Antara syarikat yang mengesahkan penyertaan ialah Sapura Aero, Destini Avia Technique, Epic Aero, DJI Academy, Superb Access, BCS Aviation, Bibus Metals, Sirim dan International Aero Training Academy.

Edisi pertama SAS diadakan pada 25 hingga 27 November tahun lalu menarik pelaburan sehingga RM100 juta dengan 12 memorandum persefahaman (MoU) bersama subsektor industri aeroangkasa dimeterai.


Pengarang :