Pengunjung Bazar Ramadan Mampan menunjukkan bekas makanan yang diterima bagi menyokong Kempen Bebas Polistirena Shah Alam 2019 di Seksyen 19, Shah Alam pada 14 Mei 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Pangsapuri Vista Alam jadi perintis kawasan bebas plastik sekali guna

SHAH ALAM, 7 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadikan Vista Alam, Seksyen 14 di sini sebagai perintis kawasan Komuniti Bebas Plastik Sekali Guna berkuat kuasa 15 Jun ini.

Menerusinya, penghuni dan peniaga di situ perlu mematuhi larangan menggunakan beg plastik sekali guna, tidak menggunakan bekas makanan dan minuman plastik atau alatan pakai buang plastik.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata premis perniagaan juga dikehendaki menyediakan beg boleh guna semula, beg kertas atau beg boleh urai kepada orang awam.

“Orang awam pula digalakkan membawa beg boleh guna semula dari rumah ketika membeli-belah dan membawa bekas serta alatan makanan dan minuman sendiri,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Jelasnya, pemilihan Vista Alam merupakan gerak kerja bawah Projek Tindakan Kolaborasi Terhadap Pencegahan Penggunaan Plastik Sekali Guna di Asia Tenggara melalui kerjasama Malaysia dan Jerman.

Beliau menambah projek tersebut juga menjadi landasan bagi mendidik dan menyedarkan masyarakat berhubung kesan penggunaan jangka panjang bahan itu kepada alam sekitar.

“Oleh itu, MBSA berharap projek ini menjadi projek perintis kepada kawasan lain di Shah Alam bagi mengawal penggunaan plastik sekali guna,” kata Shahrin lagi.


Pengarang :