Yang Dipertuan Pekawanis, Masdiana Muhamad melawat ke pertandingan gubahan bunga ketika Program Santai Bual Bicara Jalajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pekawanis ambil peluang jelajah bantuan rakyat sebar aura kasih sayang

KUALA LANGAT, 26 JUN: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) mengambil peluang penganjuran Jelajah Selangor Penyayang berkongsi maklumat dan program yang dianjurkan sepanjang tahun.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata program-program anjuran Pekawanis lebih kepada menyebarkan aura kasih sayang kepada masyarakat.

“Jika kita lihat sebuah keluarga, institusi itu bertambah kukuh apabila penuh dengan kasih sayang dan bahagia. Begitu juga di negeri, apabila ia penuh dengan kasih sayang ia menjadikan negeri itu bahagia.

“Oleh demikian, peranan kita ialah menyebarkan aura kebahagiaan kepada semua terutama wanita kerana golongan ini tunggak keluarga dan menguruskan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Pekawanis bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Selangor di Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib di sini semalam.

Tambah Masdiana, Pekawanis sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Puspanita dalam menganjurkan program-program.

“Ahli-ahli Pekawanis memang tiada masalah dan sentiasa bersedia bekerjasama dengan Puspanita daerah dalam menganjurkan program yang boleh menyumbang bakti kepada rakyat,” katanya.


Pengarang :