Salah seorang daripada 29 pelajar Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Anis) menyertai lawatan sambil belajar ke Sunway Midlife Park, Sunway Lagoon pada 9 Jun 2022. Foto Jabatan Anis
AGENSISELANGOR

Pelajar anak istimewa sertai lawatan sambil belajar, kenali dunia haiwan

SHAH ALAM, 11 JUN: Seramai 29 pelajar Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Anis) menyertai lawatan sambil belajar ke Sunway Wildlife Park, Sunway Lagoon dekat sini Khamis lalu.

Ketua Jabatan Anis Danial Al-Rashid Haron berkata program julung kali itu bertujuan memberikan pengalaman baharu mengenai dunia haiwan yang lebih efektif kepada pelajar.

Guru mengiringi pelajar Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Anis) melawat kawasan menempatkan haiwan di Sunway Midlife Park, Sunway Lagoon pada 9 Jun 2022. Foto Jabatan Anis

Jelasnya aktiviti itu juga dapat mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai keadaan serta cara pengendalian kanak-kanak berkeperluan khas.

“Kesedaran ini penting supaya stigma negatif terhadap kanak-kanak istimewa dibuang dan mereka tidak dipinggirkan.

“Dalam lawatan ini pelajar merasai pengalaman memberi makan kepada arnab dan kambing selain dapat memegang haiwan seperti anak ular sawa,” katanya menerusi kenyataan.

Danial berkata pemilihan lokasi lawatan bertepatan dengan keperluan pelajar dan mesra untuk anak istimewa.

“Persekitaran lokasi redup dan panel kaca yang menempatkan haiwan seperti singa, harimau dan beruang memudahkan pelajar melihat dari jarak jauh.

“Pihak pengurusan juga memberi sokongan dan kerjasama yang baik. Penyusunan jadual lawatan bersesuaian dengan kondisi dan keperluan kanak-kanak,” katanya.


Pengarang :