Pemain bola sepak remaja tajaan MBI Qaseh Rania bersama abangnya Luth Qayyim menunjukkan kemahiran mereka ketika ditemui di Taman Tasik Shah Alam pada 2 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Peluang dua beradik pikat kelab bola sepak Croatia

SHAH ALAM, 4 JUN: Dua beradik berpeluang memikat kelab bola sepak di Croatia selepas mereka dihantar menjalani latihan di sana selama dua minggu bermula hari ini.

Luth Qayyim Khairul Najib, 15 dan Qaseh Rania Khairul Najib, 12 yang menerima tajaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) bakal mengikuti program bersama NK Osijek FC.

Bapanya Khairul Najib Ibrahim berharap peluang itu membuka jalan untuk anaknya mengembangkan bakat di kelab Eropah selain menjadi inspirasi kepada pemain remaja lain.

“Sekiranya ada tawaran kontrak, saya sekeluarga akan mempertimbang untuk berpindah ke sana,” katanya ketika ditemui Media Selangor baru-baru ini.

Khairul Najib Ibrahim menunjukkan teknik latihan yang diberikan kepada Qaseh Rania di Taman Tasik Shah Alam pada 2 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau yang juga jurulatih peribadi kedua-dua anaknya menambah Qaseh pernah ditawarkan bermain di salah sebuah sekolah di Baltimore, Amerika Syarikat oleh bekas pemain Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, menurut Khairul Najib, pelawaan itu terpaksa ditolak berikutan usia Qaseh yang terlalu muda selain bimbang keselamatan anaknya di sana.

“Ketua pembangunan bola sepak yang berpangkalan di Washington berharap Qaseh dapat ke sana Ogos ini tetapi pada saya terlalu awal untuknya pergi sendirian kerana dia baharu 12 tahun,” katanya.

Kedua-dua beradik itu terpilih setelah mendapat perhatian dalam kejohanan Liga FAM Suparimau. Ketika ini, Qaseh menjalani latihan berpusat bersama skuad bola sepak wanita negara.

Pemain remaja itu juga pernah menjuarai Liga Bola Sepak Wanita Kuala Lumpur 2021 ketika mewakili pasukan senior dan Kejohanan Belia LaLiga 2021 bagi kategori bawah 14 tahun.

Qaseh turut menerima anugerah Pemain Paling Bernilai dalam Kejohanan Belia LaLiga 2021 dan kategori Akar Umbi Akademi Futsal 2020.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tengah) bergambar bersama Qaseh Rania (kanan) dan Luth Qayyim selepas sesi temu ramah di Taman Tasik Shah Alam pada 2 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :