Pemain bola sepak remaja tajaan MBI Qaseh Rania bersama abangnya Luth Qayyim menunjukkan kemahiran mereka ketika ditemui di Taman Tasik Shah Alam pada 2 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Pemain bola sepak remaja wanita ditawar sertai kelab bola sepak Croatia

SHAH ALAM, 13 JUN: Pemain bola sepak wanita tajaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Qaseh Rania Khairul Najib telah menerima tawaran kelab Divisyen 1 Croatia, NK Osijek.

Ketua tanggungjawab sosial korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata remaja berusia 12 tahun itu terpilih selepas mengikuti program bersama kelab itu selama dua minggu sejak awal bulan ini.

“Ketua pencari bakat kelab tertarik dengan aksi Qaseh Rania dan dia kemudian ditawarkan untuk menyertai kelab itu sebagai pemain akademi,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Ahmad Azri berkata pihaknya sedia terus membantu Qaseh Rania sebagai sokongan kepada remaja itu untuk melangkah lebih jauh dalam sukan bola sepak profesional.

“Sebelum ini kita bantu dia pergi mengikuti program dan berpeluang untuk tunjuk bakat di sana dan dia telah buktikan. Selepas ini kita akan pertimbang dan lihat apa bentuk bantuan yang boleh disalurkan,” katanya.

Selain Qaseh Rania, abangnya Luth Qayyim, 15 turut menerima tajaan MBI bagi mengikuti program bersama NK Osijek FC pada 4 Jun lalu.

Kedua-dua beradik itu terpilih setelah mendapat perhatian dalam kejohanan Liga FAM Suparimau. Ketika ini, Qaseh menjalani latihan pusat bersama skuad bola sepak wanita negara.

Pemain remaja itu juga pernah menjuarai Liga Bola Sepak Wanita Kuala Lumpur 2021 ketika mewakili pasukan senior dan Kejohanan Belia LaLiga 2021 bagi kategori bawah 14 tahun.

Qaseh turut menerima anugerah Pemain Paling Bernilai dalam Kejohanan Belia LaLiga 2021 dan kategori Akar Umbi Akademi Futsal 2020.


Pengarang :