Skuad Harimau Malaya menang 2-0 menentang Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Jun 2022. Foto Facebook Football Association of Malaysia
AGENDASUKANKINI

Pemain dahagakan kejayaan, ingin layak ke Piala Asia – Safiq

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Selepas membenam Hong Kong malam tadi, pemain tengah berpengalaman Safiq Rahim mendedahkan bahawa skuad Harimau Malaya amat dahagakan kejayaan dan menyasarkan untuk layak ke Piala Asia 2023.

Safiq berkata saingan kelayakan Piala Asia 2023 yang bermula minggu depan adalah peluang buat barisan pemain negara mencipta sejarah dalam lembaran bola sepak tanah air.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata peluang layak ke Piala Asia tidak boleh dilepaskan apatah lagi dengan kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri apabila kesemua perlawanan pusingan kelayakan melibatkan pasukan negara berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

“Peluang ini tidak akan datang lagi, saya dan semua rakan sepasukan harus menjalankan tanggungjawab sebagai pemain…kita memang mahukan kejayaan dan mahu layak ke pusingan seterusnya.

“Jadi, saya harap semua peminat bola sepak di Malaysia dapat mendoakan pasukan. Pemain ke-12 amat penting untuk pasukan, jadi sokonglah walau di mana pasukan berada, kami sebagai pemain mengharapkan sokongan daripada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Hong Kong di sini semalam, yang menyaksikan pasukan negara mendominasi permainan untuk menang 2-0.

Pada aksi itu, Safiq yang dimasukkan pada babak kedua telah menjaringkan gol kedua Malaysia menerusi sepakan percuma di penghujung permainan selepas pemain sayap negara, Muhammad Safawi Rasid meletakkan skuad bimbingan Kim Pan Gon di depan pada minit ke-31 menerusi sepakan penalti.

Safiq menyifatkan kemenangan di hadapan kira-kira 19,075 penonton itu serta kejayaan menewaskan Brunei pada aksi persahabatan Jumaat lepas, sebagai motivasi terbaik menjelang aksi sulung Kumpulan E saingan kelayakan bertemu Turkmenistan, Rabu depan (8 Jun) di sini.

“Alhamdulillah, kita dapat bagi yang terbaik untuk pasukan (dalam dua perlawanan persahabatan) dan ada beberapa kekurangan akan diperbetulkan, (dan) kita masih ada masa lagi sebelum perlawanan pertama,” katanya.

Selepas Turkmenistan, tiga hari kemudian anak buah Pan Gon akan menentang Bahrain (11 Jun) dan menamatkan saingan kempen kelayakan berdepan Bangladesh pada 14 Jun.

Sekiranya berjaya muncul juara kumpulan atau menjadi antara lima pasukan di tempat kedua terbaik pada saingan kelayakan, skuad kebangsaan akan menamatkan penantian lebih 40 tahun layak secara merit ke Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait.

Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007.

– BERNAMA


Pengarang :