AGENDANASIONAL

Pemain didakwa terbabit kes rogol direhatkan KUFC

KOTA BHARU, 7 JUN: Kelantan United Football Club (KUFC) merehatkan seorang pemain pasukan yang didakwa terbabit dalam kes rogol remaja bawah umur.

Ketua Pegawai Operasi KUFC, Wan Mohd Zul Ikman, dalam kenyataan semalam berkata pemain itu direhatkan daripada menyertai sesi latihan pasukan dan perlawanan Liga Premier sehingga dimaklumkan kelak.

Menurutnya langkah itu diambil susulan dakwaan pelakuan tidak bermoral yang tular di media sosial yang dikaitkan dengan pemain berkenaan.

“Pihak KUFC memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa dan menunggu laporan penuh berkenaan kes yang didakwa terhadap pemain tersebut.

“KUFC sentiasa mendukung undang-undang negara dan berpendirian tidak bertolak ansur dengan sebarang pelakuan tidak bermoral oleh mana-mana pihak dalam kelab,” katanya.

Beliau berkata KUFC tetap berpegang pada prinsip ‘seorang itu masih tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’, namun jika didapati bersalah, satu tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang dan terma yang dipersetujui dalam kontrak.

Sebelum ini, media melaporkan pemain berusia 28 tahun itu ditahan dekat Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini susulan laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun bagaimanapun berkata pemain itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan remannya tamat pada 3 Jun lepas dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

– BERNAMA


Pengarang :