Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada 29 Jun 2022 atas dua pertuduhan mencederakan isteri dan ibu mentua menggunakan pisau di Kampung Cabang Empat, Tumpat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pemandu lori mengaku salah tikam isteri, mentua

PASIR MAS, 29 JUN: Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mencederakan isteri dan ibu mentua menggunakan pisau.

Wan Mohammad Hafizuddin Wan Ismail, 27, didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya Nik Salma Joni, 26, dan Tuan Azizah Tuan Bongsu, 61, di sebuah rumah dekat Kampung Cabang Empat, Tumpat dekat sini pada 5.30 petang, 21 Jun lepas.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A dan Seksyen 326 kanun yang sama.

Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua manakala Seksyen 326 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes itu disebut di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno yang kemudiannya menetapkan 5 September sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman.

-BERNAMA


Pengarang :