Orang ramai memeriksa mata pada program Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pemeriksaan kesihatan percuma dalam jelajah bantuan rakyat di Kuala Selangor 2 Julai

SHAH ALAM, 30 JUN: Orang ramai dipelawa menjalani pemeriksaan kesihatan menerusi program Selangor Saring dalam siri Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Kuala Selangor pada Sabtu ini.

Program percuma anjuran Kerajaan Negeri itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Kerajaan Selangor memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Selain pemeriksaan kesihatan, pelbagai acara diatur dalam acara itu antaranya persembahan artis termasuk Wany Hasrita, senamrobik, pertandingan sukan rakyat, e-sukan dan derma darah.

Turut diadakan, simbolik penyerahan bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor, bantuan Dana Usahawan Mikro Selangor selain program Puspanita dan forum kesihatan.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta, menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.


Pengarang :