Peserta membuat pemeriksaan darah ketika program Selangor Saring DUN Sungai Ramal di Dewan Komuniti Seksyen 4, Hulu Langat pada 18 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pemeriksaan lengkap status kesihatan, berbaloi sertai Selangor Saring

BANGI, 19 JUN: Program Selangor Saring anjuran Kerajaan Negeri disifatkan berbaloi kerana menyediakan pemeriksaan secara percuma yang lengkap untuk status kesihatan.

Warga emas, Abdul Rahman Talib, 65, berkata beliau mengambil peluang untuk hadir ke Dewan Komuniti Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di sini semalam selepas melihat poster terbabit menerusi perkongsian kumpulan WhatsApp.

“Sudah lama tidak buat saringan kesihatan, apabila dapat tahu Kerajaan Negeri buat program ini tanpa berfikir panjang terus datang untuk periksa.

Abdul Rahman Talib. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Proses saringan di sini pun lengkap dan paling beruntung ia percuma sesuai sangat buat golongan berpendapatan rendah (B40) untuk tahu status kesihatan mereka,” katanya ketika ditemui.

Manakala, surirumah Zuridah Ramlan, 55, turut memuji proses pemeriksaan yang cepat dan tidak perlu menunggu lama seperti di klinik atau fasiliti kesihatan luar.

“Selepas sahaja selesai saringan saya terus maklumkan kepada adik beradik dan saudara mara yang berhampiran hadir ke sini dan ambil peluang periksa kesihatan ini,” katanya.

Zuridah Ramlan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain itu, peniaga Muhammed Ibrahim Abdullah, 45, berkata inisiatif daripada Kerajaan Negeri itu amat bagus sekali gus memupuk budaya sihat dalam kalangan masyarakat.

“Saya tidak pernah periksa kesihatan kerana tidak sempat tetapi hari ini (semalam) ambil peluang sertai Selangor Saring mungkin boleh tahu status kesihatan terkini,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan barah payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Minggu ini program saringan kesihatan secara percuma diteruskan di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan Sabtu diadakan untuk DUN Dengkil dan Sungai Ramal manakala Ahad untuk DUN Sungai Pelek, Pandan Indah serta Teratai.


Pengarang :