Tinjauan Rumah Selangorku di Taman Bukit Raya, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 10 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pemuda gaji bawah RM3,000 kongsi kisah beli Rumah Selangorku

SHAH ALAM, 28 JUN: Usia muda dengan gaji bulanan bawah RM3,000 bukan halangan untuk individu memiliki kediaman sendiri bawah projek Rumah Selangorku.

Mohd Farizuan, 28, yang berasal dari Sandakan dan menetap di Kuala Selangor sejak tahun 2000 membuat keputusan drastik membeli rumah kerana enggan menyewa lagi.

Dalam temu bualnya bersama Majalah Labur, pemuda itu memilih rumah setingkat di Taman Malawati Cergas, Kuala Selangor berharga RM42,000 dengan keluasan 750 kaki persegi.

Pengurus jualan di sebuah syarikat swasta itu menjelaskan dia hanya perlu membayar pinjaman balik RM205 sebulan untuk tempoh 35 tahun bagi memiliki kediaman tiga bilik.

Pada peringkat awal, Farizuan berkunjung ke pejabat pemaju hartanah Semarak Cergas Sdn Bhd untuk mendapat maklumat lanjut projek tersebut sebelum memohon di portal Rumah Selangorku.

Selepas itu, dia menyertai kursus kewangan secara dalam talian oleh Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) sebelum menyerahkan dokumen lengkap pembelian rumah.

Rumah Selangorku di Taman Alam Suria, Jeram, Kuala Selangor pada 10 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dokumen itu merangkumi penyata gaji empat bulan, penyata bank (empat bulan), rekod Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) dan laporan kredit individu (CTOS).

Memandangkan Farizuan bukan anak Selangor, maka dia perlu membuat pengesahan di pusat pesuruhjaya sumpah sebagai bukti telah bermastautin di negeri ini sekurang-kurangnya 10 tahun.

Seterusnya, dia mengemukakan salinan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja terkini untuk empat bulan yang boleh didapati di mana-mana cawangan terdekat.

Proses lanjut pengalamannya membeli rumah seperti berikut:

1. Pembeli perlu menunggu antara 30 ke 60 hari untuk mengetahui status kelulusan daripada LPHS dan ditawarkan surat jika layak

2. Cari peguam hartanah berpengalaman dengan projek Rumah Selangorku untuk urusan pinjaman bank dan tunggu 30 hari bagi mengetahui status kelulusan

3. Jika lulus, tandatangan Surat Perjanjian Pinjaman dengan bank, kemudian tandatangan dokumen jual beli dengan pemaju hartanah

4. Dalam tempoh menunggu rumah siap, kos yang perlu dibayar ialah cukai tanah, cukai pintu, Indah Water Konsortium, deposit elektrik dan air serta yuran guaman

5. Apabila dapat kunci, semak kecacatan rumah menggunakan konsultan berpengalaman dengan kos antara RM400 hingga RM600 (bergantung keluasan rumah) dan lapor kepada pemaju untuk baik pulih

6. Dalam tempoh 30 hari, pemaju hartanah akan baik pulih semua kecacatan yang dilaporkan. Jika berpuas hati, pembeli boleh teruskan pengubahsuian


Pengarang :