Ziana Zain, Elyana, Roy, Haziq, Sissy Imann dan Jamilah Abu Bakar menjalani latihan ketika sesi raptai Senandung Aidilfitri di Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam, pada 30 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILA/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Penawar rindu Ahmad Jais, penyanyi muda azam perjuang irama Melayu

Aura penghibur terkenal era 1960-an, Allahyarham Datuk Ahmad Jais cukup memberi kesan kepada Haziq Rosebi. Sejak di bangku sekolah, lagu nyanyian legenda itu menjadi pilihan bekas penyanyi Akademi Fantasia (AF) 2006.

Bahkan lagu Umpan Jinak Di Air Tenang dinyanyikannya memberi tuah sehingga menjadi antara peserta AF diminati ramai pada tahun itu. Vokal saling tidak tumpah seperti penyanyi legenda itu menyebabkan ada menganggap Haziq, 34, sebagai kembar Ahmad Jais.

Lagu lain seperti Budi Setahun Segunung Intan yang dinyanyikan semula anak kelahiran Kluang, Johor dalam majlis atau saluran TikTok serta YouTube mengembalikan nostalgia terhadap legenda berkenaan.

Haziq membuat persembahan dalam konsert megenang jasa Allahyarham Dato’ Ahmad Jais pada 2011. Foto Facebook Haziq Rosebi

Maklum balas diterimanya baik. Malah ada peminat Ahmad Jais termasuk dari Indonesia mengaku terubat rindu dengan suara penyanyi kesayangan mereka selepas mendengar semula lagu itu dinyanyikan bapa dua anak itu.

“Bila saya bawa lagu Budi Setahun Segunung Intan dan Umpan Jinak Di Air Tenang di TikTok ramai yang suka termasuk orang muda. Mereka kata ‘ini lagu mak dan bapa’… rindu kerana lama tidak dengar di radio.

“Tontonan boleh mencecah sehingga ratusan ribu hanya dalam masa singkat. Begitu hebat penangan lagu lama termasuk oleh Ahmad Jais,” kata Haziq yang menduduki tempat keempat pada AF 2006.

Terima tempahan

Walau dilabel ‘penyanyi suam-suam kuku’, beliau tidak kisah kerana rezeki bidang nyanyian tetap ada. Tempahan membuat persembahan majlis perkahwinan dan korporat masih diterima.

“Mungkin keluarga pengantin dan majikan syarikat itu ‘peminat lagu-lagu lama’, jadi cari penghibur yang menyanyi lagu seperti itu.

“Saya tidak kisah orang hendak kata saya ini penyanyi orang kahwin sahaja. Asalkan mas kahwin (bayaran) sesuai, saya ambil tawaran itu,” ujar Haziq.

Suami Maisara Mohd Sidki itu teguh dengan irama tradisional dan lagu malar segar meski populariti tidak seperti rakan artis lain yang membawa genre semasa seperti pop, rock dan balada.

Menyedari kehadiran ramai penyanyi dengan muzik lebih ‘segar’ menyebabkan peluangnya muncul di kaca televisyen samar, Haziq mencari jalan memastikannya terus bertahan dalam bidang yang diceburi kira-kira 14 tahun lalu itu menerusi media sosial.

Artis lain yang turut serta dalam konsert megenang jasa Allahyarham Dato Ahmad Jais. Foto Facebook Haziq Rosebi

“Macam sekarang TikTok bukan hanya siarkan video orang joget (menari) sahaja tetapi ustaz dan pakar motivasi pun guna kerana capaiannya lebih tinggi. Jadi macam-macam ada kandungan di sana cuma pengguna kena bijak pilih.

“Bila saya muat naik video menyanyi lagu lama, ramai yang tonton termasuk orang muda. Saya pernah dapat 700,000 tontonan hanya dalam masa empat hari,” katanya.

Haziq bersyukur kerana mendapat sokongan pelbagai pihak untuk memperjuangkan irama Melayu yang dicintainya sejak kecil lagi.

Antaranya Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) yang sering menjemputnya dalam pelbagai program. Malah penyanyi itu turut tampil dalam Senandung Aidilfitri tahun ini.

Haziq mempersembah lagu Satu Syawal, nyanyian asal Ahmad Jais. Kesempatan itu dihargainya kerana dapat kembali di khalayak ramai selepas lama tidak membuat persembahan susulan penularan Covid-19.

“Golongan artis antara terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan, jadi bila ada jemputan seperti ini kami dapat kembali aktif,” katanya.

Rancangan Senandung Aidilfitri disiarkan pada hari kedua Syawal di portal selangortv.my dan Facebook Media Selangor turut menampilkan Ziana Zain, Sissy Imann, Elyana Emrizal, Roy Alwi, Raja Azura, Bell Ngasri dan Azlee Senario.

Harapan Haziq mahu melihat irama Melayu terus subur dan tidak luput ditelan zaman. Baginya, genre itu mempunyai kekuatan tersendiri serta merekod sejarah seni sebelum kemunculan muzik lebih moden.


Pengarang :