AGENDANASIONAL

Penduduk kampung jumpa peluru, bom lama di belakang rumah

IPOH, 5 JUN: Seorang lelaki terkejut apabila menemukan sejumlah peluru dan sebutir bom tangan lama ketika menggali tanah di belakang rumahnya di Kampung Selarong, Pengkalan Hulu, kira-kira 173 kilometer dari sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata dalam kejadian 4.15 petang itu, lelaki berusia 50 tahun terbabit sedang melakukan kerja-kerja untuk membesarkan kandang lembu.

“Polis menerima maklumat berhubung penemuan itu pada jam 6 petang dan hasil siasatan mendapati bom berkenaan merupakan bom tangan lama dengan ukur lilit 20 sentimeter (sm) dan panjang 12 sentimeter.

“Sejumlah peluru jenis 7.62mm General Purpose Machine Gun (GPMP) yang ditemui pula sudah berkarat,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Susulan itu, beliau berkata kerja pemusnahan telah dilakukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Taiping pada jam 10.20 pagi semalam tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku dalam proses tersebut.

Katanya peluru tersebut pula akan dilupuskan oleh pihak Unit Persenjataan (AMRA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Justeru, beliau menyeru orang ramai yang menjumpai sebarang objek seperti bom atau bahan letupan supaya tidak menyentuh atau mengalihkannya, tetapi terus melaporkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

– BERNAMA


Pengarang :