Kakitangan Selangor FC menunjukkan barangan yang terdapat di gerai mereka pada program Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMA

Penduduk Kuala Selangor digesa rebut peluang manfaat jelajah bantuan rakyat Sabtu ini

SHAH ALAM, 28 JUN: Jelajah Selangor Penyayang anjuran Kerajaan Negeri akan diteruskan di Stadium Utama Kuala Selangor pada Sabtu ini.

Siri jelajah itu bakal dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan ia diadakan mulai jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

Program itu bertujuan mempromosi pelbagai inisiatif kebajikan rakyat yang disertai 23 anak syarikat Kerajaan Negeri.

Pelaksanaan Iltizam Selangor Penyayang membabitkan peruntukan RM350 juta ini menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Pelbagai acara sudah diatur bagi memeriahkan jelajah yang dilancar pada 19 Jun lalu di Taman Kosas Ampang itu termasuk persembahan artis seperti Wany Hasrita, senamrobik, pertandingan sukan rakyat, e-sukan dan derma darah.

Turut diadakan, simbolik penyerahan bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor, bantuan Dana Usahawan Mikro Selangor, program Puspanita, forum kesihatan dan Selangor Saring bagi mengesan penyakit kronik.

Pada Sabtu lalu, program jelajah itu diadakan di Dataran Pantai Morib Kuala Langat dan berjaya menarik ribuan pengunjung.

Jelajah berkenaan akan diadakan di Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 16 Julai dan Padang Awam Batu Caves Gombak pada 31 Julai.


Pengarang :