Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura berjumlah RM3,000 kepada wakil persatuan penduduk pada program Merangsang Ekonomi Mensejahtera Komuniti Petaling Jaya di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 26 Jun 2022 sambil disaksikan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir (dua, kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Penduduk, PBT perlu punyai hubungan baik bagi tangani isu keselamatan

PETALING JAYA, 26 JUN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penduduk diminta mempertingkatkan jalinan komunikasi antara mereka terutama membabitkan isu keselamatan.

Dato’ Menteri Besar berkata keselamatan di kawasan kejiranan bukan tanggungjawab polis semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama PBT dan penduduk setempat.

“Komunikasi dan hubungan yang baik perlu ada bukan soal peruntukan sahaja tetapi juga menjalankan program secara bersama. Faktor keselamatan perlu menjadi keutamaan.

“Perlu ada kerjasama erat, tidak boleh lepas tanggungjawab kepada pihak berkuasa, tidak boleh lihat keselamatan sebagai isu polis sahaja tetapi semua pihak perlu sedia bekerjasama untuk tangani masalah yang timbul,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata demikian selepas merasmikan program Merangsang Ekonomi Mensejahtera Komuniti Petaling Jaya di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Pada majlis itu beliau menyampaikan sumbangan kepada hampir 100 Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) dan setiap pasukan menerima RM3,000.

PKKPJ ditubuhkan untuk mewujudkan suasana kejiranan setempat yang selamat dengan menggalakkan penglibatan Persatuan Penduduk (RA), Rukun Tetangga (RT) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB).


Pengarang :