Pegawai khas EXCO Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud, Mashitah Ismail (dua, kanan) dan Pengarah Perkeso Selangor, Zainol Abu (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada pengawal keselamatan, Mohd Zaidi Mohd Noor (dua, kiri) di Seri Kembangan pada 13 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Pengawal keselamatan, mangsa tembakan di Puchong terima faedah Perkeso

SERI KEMBANGAN, 13 JUN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor hari ini menyerahkan bayaran faedah hilang upaya sementara kepada pengawal keselamatan yang cedera dalam insiden rompakan berhampiran sebuah bank di Puchong.

Pengarahnya Zainol Abu berkata faedah berjumlah RM5,631.12 itu diserahkan kepada Mohd Zaidi Mohd Noor, 44, berdasarkan bilangan cuti sakit mangsa susulan kejadian pada 11 Mac lalu.

“Bayaran ini adalah 80 peratus daripada gaji harian mangsa dengan minimum RM30 sehari dan mengikut jumlah cuti sakit. Bayaran ini diteruskan setiap bulan selagi mangsa masih mempunyai cuti sakit dan menerima rawatan.

“Diharap mangsa kekal bersabar dan segera sembuh. Perkeso melalui Skuad Prihatin akan sentiasa memantau kes seperti ini dan segera tampil untuk membayar pampasan,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan faedah berkenaan di kediaman keluarga mangsa di Bandar Putra Permai dekat sini.

Dalam pada itu, beliau turut menyerahkan sumbangan kotak prihatin berisi makanan asas bernilai RM250 bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Mengulas lanjut, Zainol berkata pihaknya turut menanggung sepenuhnya kos rawatan mangsa di hospital kerajaan atau hospital universiti mengikut Akta Fee 1951 Perintah Perubatan 1982.

“Bagaimanapun, bantuan alat pemulihan seperti katil dan lampin pakai buang tidak disediakan berikutan kecederaan mangsa tidak memerlukan kemudahan berkaitan. Keperluan ini hanya disediakan bergantung laporan perubatan doktor,” katanya.

Terdahulu dalam kejadian jam 5.50 petang itu, mangsa cedera di bahagian dada manakala seorang lagi maut selepas ditembak dalam rompakan nekad di kawasan terbabit.

Semasa kejadian, terdapat empat pengawal keselamatan ditugaskan untuk mengambil wang dari sebuah bank untuk diangkut ke dalam van syarikat keselamatan, manakala seorang pemandu menunggu dalam kenderaan.


Pengarang :